Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Teng Chang Kim berkata satu rang undang-undang pilihan raya kerajaan tempatan sedang digubal dan dijangka akan dibentangkan di DUN pada 2014.

Beliau yang bertanggungjawab berkaitan mengawal selia berkaitan kerajaan tempatan berkata proses pemilihan anggota pihak berkuasa tempata "sedikit berlainan" dengan pilihan raya umum.

"Rang undang-undang yang dicadangkan tidak akan bercanggah dengan perlembagaan dan Akta Kerajaan Tempatan. Mekanisme akan dikaji kemudian selepas rang undang-undang itu disempurnakan.

"Ia akan dilaksanakan di satu atau dua majlis bandaraya dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat," katanya bagi menjawab soalan Rajiv Rishyakaran (DUN-Bukit Gasing) dalam sidang DUN Selangor hari ini.

Teng yang juga ADUN Sungai Pinang berkata langkah itu selari dengan apa yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor.

Menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang DUN Selangor Datuk Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) Teng berkata antara tujuan pilihan raya itu diadakan bagi "mengembalikan hak demokrasi kepada rakyat".

Katanya, pilihan raya tempatan itu pernah diadakan pada 1955 di Kuala Lumpur sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Shamsuddin mempersoalkan jawapan yang diberikan oleh Teng berhubung asas memperkenalkan pilihan raya memilih anggota pihak berkuasa tempatan.

"Adakah sekarang asas pendemokrasiannya tidak cukup. Kita nak buka pendemokrasian sampai ke mana? Saya juga ingin bertanya, adakah esok, datuk-datuk bandar dan yang dipertua majlis perbandaran akan melalui proses pilihan raya.

"Adakah selepas ini, kita adakan tubuh pula suruhanjaya... Adakah Selangor akan mempunyai suruhanjaya pilihan raya tersendiri? Ini semua masih (dalam) persoalan yang baru ditimbulkan oleh pertanyaan, mengenai bentuknya. Kita pun nak tahu apa bentuknya," katanya.

Beliau juga mempersoalkan kos yang bakal terlibat dalam pilihan raya berkenaan.

Tambahnya, keputusan untuk memansuhkan pilihan raya tempatan sebelum ini juga dibuat berdasarkan alasan tertentu.

"Sepatutnya dibincangkan di peringkat persekutuan (untuk mengadakan pilihan raya tempatan) sebab melibatkan sistem perlembagaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS