'Bukan mudah siasat kes Lahad Datu'
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Wan Jaafar berkata kerajaan mengambil masa untuk menyiasat dan mengadakan rundingan dengan kerajaan Filipina sebelum mengenalpasti tujuan kumpulan pengganas 'Kesultanan Sulu' yang menceroboh negara ini pada Februari lalu.
"Pada ketika itu kita tidak mengetahui (status dan punca). Hanya selepas penyelidikan pertama baru kita mengetahui mereka bersenjata, apa tujuan dan puncanya," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang mempersoalkan tindakan kerajaan yang mengambil masa untuk bertindak ke atas kumpulan terbabit.
Bung Moktar seterusnya bertanya sama ada perkara itu menunjukkan bahawa polis tidak cekap menjalankan tugas.
"Sabah nak hancur, mereka tak tahu pun... Itu jawapan tidak memuaskan hati saya," kata Bung Moktar.
Wan Junaidi seterusnya berkata, beliau memahami sentimen Bung Moktar tetapi pasukan keselamatan perlu bertindak mengikut peraturan.
"Selepas itu, polis melakukan penyiasatan. Apabila polis diserang baru kita tahu kelompok ini bertujuan untuk menceroboh dan mengganas di negara kita," katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan juga mengambil masa yang panjang untuk berhubung kerajaan Filipina bagi melakukan penyiasatan mengenai identiti kumpulan tersebut demi menjaga semangat dan kerjasama erantau.
"Bukan mudah untuk membuat penyiasatan... Jadi dalam keadaan sedemikian, kita berjaga-jaga dan berhati-hati. Selepas mengetahui niat mereka ini, baru kita menggerakkan tentera dan akhirnya menamatkan pencerobohan di Lahad Datu," katanya.

