AG tolak undang-undang penahanan untuk pencegahan
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata beliau tidak menyokong pembentukan apa-apa undang-undang baru yang membenarkan penahanan untuk pencegahan.
Bagaimanapun Pejabat Peguam Negara masih belum menerima apa-apa deraf atau cadangan dari Kementerian Dalam Negeri atau mana-mana badan kerajaan berhubung undang-undang untuk menggantikan Ordinan Darurat (EO) yang membenarkan penahanan untuk pencegahan, katanya.
“Saya tidak akan bersetuju dengan penahanan pencegahan,” katanya kepada pemberita di dalam satu sidang media di Bangi hari ini.
Tambahnya, tiada apa-apa deraf undang-undang baru yang dihantar ke pejabatnya.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan sekiranya ada pihak yang mendakwa sebaliknya, katanya lagi.
Tambahnnya, beliau juga tidak pernah melihat sebarang kes pendakwaan melibatkan bekas tahanan EO.
Beliau mengulas dakwaan kerajaan bahawa pemansuhan EO mendorong kepada peningkatan kes jenayah dan juga cadangan untuk memperkenalkan undang-undang baru bagi menggantikan ordinan tersebut.
Abdul Gani juga menegaskan bahawa undang-undang sedia ada memadai untuk penguatkuasa undang-undang mendakwa penjenayah.

