TPM: Projek di K Besut dirancang lebih awal
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beberapa projek yang diumumkan pemimpin kerajaan di Kuala Besut telah dirancang lebih awal dan bukan hanya dibuat ekoran pilihan raya kecil di kawasan terbabit.
Menurutnya, projek yang dilakukan oleh kerajaan negeri atau persekutuan perlu dilihat dalam konteks menjalankan tanggungjawab dan amanah dan bukan kerana pilihan raya kecil itu.
"(Apa yang) dibuat pada waktu ini, ialah kerana sudah dirancang awal. Yang diumumkan tadi pun, itu adalah keputusan. Saya percaya ia disambut baik oleh penduduk.
"Projek ini sudah lama diperlukan. Dan cuma kita mencari sumber itu memakan masa," katanya dalam sidang media selepas merasmikan pecah tanah projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi di Tok Saboh, Kuala Besut petang ini.
Muhyiddin diminta menjawab sama ada pengumuman kerajaan itu dan pemberian rumah percuma sebelum ini yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai imbuhan pilihan raya kecil DUN itu betul atau berlaku secara kebetulan.
Sabtu lalu kerajaan negeri Terengganu mengumumkan peruntukan bernilai lebih RM10 juta untuk membina pangsapuri empat tingkat merangkumi 72 unit di Kampung Lay Out - kira-kira 1.5 km daripada tapak majlis hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata usaha kerajaan itu perlu dilihat sebagai menjalankan tanggungjawab dan amanah dan bukannya untuk membeli undi.
"Dan perkara ini bukan baru, aalam pilihan raya umum atau kecil, kita jalan seperti biasa. Pasal bagi, saya ini adalah tangggunjawab dan amanah yang kita kena sempuna," katanya.
Dalam sidang media itu juga, beliau turut mengumumkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju dengan projek berjumlah RM250 juta untuk mendalamkan Sungai Besut.
Menurutnya lagi, sebanyak RM500 ribu diperuntukkan untuk melantik perunding bagi membuat kajian projek tersebut, memandangkan sebelum ini dilaksanakan secara ad hoc yang menelan belanja antara RM10 hingga RM20 juta.
"Jadi ia tidak boleh kekal... Kita perlu inisiatif jangka masa panjang," katanya.
Sebelum itu, Muhyiddin turut mengumumkan pembinaan satu sekolah menengah dengan peruntukan kira-kira RM28 juta yang akan dimulakan bulan depan.

