Biarpun menerima kekalahannya dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut malam tadi, calon PAS Azlan Yusof menyindir kerajaan bahawa "rakyat nak tengok sungguh projek" yang dijanjikan oleh kerajaan BN direalisasikan.

Walaupun menganggap kekalahannya sebagai "tidak pelik dan biasa", calon yang mesra dipanggil Che Long itu berkata rakyat di Kuala Besut mendapat keuntungan dengan tawaran duit dan dijanjikan dengan projek mega oleh kerajaan.

"Kalah itu biasa sahaja, menang itu luar biasa. Ditakdirkan kalah, biasa bagi Che Long. Che Long kalah tidak berasa pelik kerana rakyat di Kuala Besut mendapat banyak duit dan projek yang ditawarkan lebih RM400 juta.

"Rakyat nak tengok sengoti (sungguh) ke dok (tidak) projek-projek tu. Kita pakat-pakat tengok, kalau panjang umur," katanya yang disambut gelak ketawa penyokongnya dalam sidang media malam tadi.

Sepanjang kempen pilihan raya kecil Kuala Besut, PAS membangkitkan isu peruntukan projek pembangunan di kawasan Kuala Besut dan menyenaraikan 15 projek yang dilaporkan oleh media massa yang keseluruhannya bernilai RM476.19 juta.

Dengan jumlah tersebut, PAS mendakwa setiap kertas undi bagi pengundi di DUN Kuala Besut mencecah RM27,000 dan meletakkan pilihan raya kecil itu antara yang termahal dalam sejarah.

Mengulas mengenai faktor kekalahannya, Azlan dengan nada berseloroh berkata beliau berlawan dengan kerajaan Malaysia yang menawarkan janji kepada rakyat Kuala Besut.

"Che Long lawan kerajaan Malaysia. Menteri dan timbalan menteri turun. Che Long kalah, biasa. Orang semua tahu apa janji (mereka)," sindirnya disambut gelak ketawa hadirin.

Pengurus pilihan raya kecil DUN Kuala Besut A Rahim Jusoh malam tadi mengumumkan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai ADUN Kuala Besut.

Beliau menang dengan majoriti 2,592 undi setelah mendapat undi sebanyak 8,288 undi, manakala Azlan mendapat 5,696 undi.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Azlan berkata beliau akan meneruskan khidmat kebajikan seperti menunaikan janjinya untuk membina beberapa buah rumah pengundi di Teluk Bayu walaupun kalah dalam pilihan raya kecil.

Bahkan, katanya beliau yang juga bendahari PAS kawasan Besut akan meneruskan aktif dalam parti dan menggunakan pengalaman yang ditimbanya dalam pilihan raya kecil itu untuk menewaskan Umno dalam pilihan raya umum ke-14.

"Pengalaman itu digunakan sebaik mungkin. Che Long akan terus dengan perjuangan Islam dan parti, bekerja untuk menewaskan Umno pada pilihan raya umum ke-14," katanya.