Soalan lazim: Akta Pencegahan Jenayah 1959
Insiden tembakan berlaku hampir setiap hari. Ia mendorong polis untuk menggunakan undang-undang yang kurang diketahui dalam membendung penjenayah serius di belakang insiden yang berlaku.
Undang-undang itu, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA), kini digunakan untuk menangkap dan menahan ratusan orang dalam 'Ops Cantas', melalui sekatan jalan raya dan pemburuan di seluruh negara.
Gesaan untuk menggunakan semula PCA dibuat semasa cadangan untuk mengembalikan semula Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 untuk membendung jenayah.
Dalam siri soal jawab di bawah, Malaysiakini cuba menyingkap beberapa perkara berkaitan PCA.
Apa itu PCA?
Ia merupakan akta yang diluluskan di Parlimen pada 1959 untuk mengawal penjenayah, anggota pertubuhan rahsia dan pihak yang tidak diingini.
PCA wujud sebelum undang-undang pencegahan lain yang kini dimansuhkan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat.
Bagaimanapun, ia mempunyai persamaan dengan sebuah lagi akta yang dimansuhkan - Akta Kediaman Terhad 1933.
Secara ringkas, PCA membenarkan penangkapan bagi jenayah-jenayah tertentu, diikuti dengan siasatan bagi menentukan tertuduh dimasukkan dalam senarai (dirujuk sebagai 'daftar') dan bawah sekatan.
Ia juga menetapkan tempoh tahanan untuk memudahkan siasatan, syarat-syarat sekatan dan hukuman kerana melanggar syarat-syarat itu.

