Tiada lagi Negaraku dalam panggung esok
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata nyanyian lagu Negaraku tidak akan diteruskan di pawagam sempena sambutan kemerdekaan tahun ini apabila hari ini memasuki tarikh akhirnya.
Bagaimanapun, beliau meminta agensi di bawahnya Finas untuk meneliti langkah tersebut untuk lagu itu dimainkan pada 16 September sempena Hari Malaysia.
Walaupun menerima maklum balas yang baik berhubung langkah tersebut, Ahmad Shabery berkata pihaknya tidak mahu "terlalu mendesak" dalam memperkenalkan sesuatu perkara baru.
"Cukuplah buat masa sekarang. Cuma 16 September, cuma Finas kena tengoklah. Sebab ada perkara yang perlu diubahsuai dari segi video klip dan sebagainya, atau ditambah beberapa perkara.
"Itu pun kalau mereka sempat, mungkin ada kos efektif yang perlu dilihat. Saya harap ia boleh dimainkan (pada tarikh itu)," katanya kepada pemberita di Shah Alam petang ini.
Katanya, beliau tidak mahu terlalu mendesak dalam memperkenalkan perkara baru, sebaliknya diadakan secara beransur-ansur.
Katanya, mungkin tahun depan pihaknya akan mencadangkan ia diadakan dalam tempoh sebulan, bermula 16 Ogos hingga 16 September.
Sebelum ini Ahmad Shabery dilapor berkata kementeriannya akan mendapatkan maklum balas untuk meneruskan inisiatif menyanyikan lagi negara di pawagam sebelum tayangan bermula, yang mana hari ini merupakan tarikh akhirnya.
Katanya berdasarkan maklum balas daripada penonton adalah baik dan terdapat kes terpencil di mana ada di kalangan penonton yang enggan berdiri sebagai tanda hormat sewaktu lagu itu dimainkan.
Mengulas lanjut mengenai kes itu Ahmad Shabery berkata:
"Ada beberapa kes, ada orang tak mahu berdiri. Itu di Pulau Pinang. Cuma ada penonton sergah, tak perlu kita ada polis dan sebagainya. Nampak gaya rakyat sayang. Tapi saya tidak mahu mendesak (memperkenalkan perkara ini)."
Aktivis sengaja cari pasal
Sementara itu, mengulas tindakan individu yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya sewaktu sambutan di ambang kemerdekaan, Ahmad Shabery berkata individu tersebut sengaja mencari publisiti.
"Nak tunjuk lain daripada yang lain sebab mereka rasa telah dilupakan, jadi dia buat benda baru. Sedangkan semua orang telah terima jalur gemilang," katanya merujuk isu melibatkan aktivis Adam Adli Abdul Halim dan Hishamuddin Rais.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat individu berkenaan dan mendakwa di mahkamah sekiranya menyalahi undang-undang.
Malah, beliau percaya majoriti anggota PAS, PKR dan DAP juga tidak bersetuju dengan tindakan aktivis tersebut yang dianggapnya "inginkan perhatian" orang ramai.
"Saya kesian juga dengan mereka ini. Kita kena kesian dengan mereka ini sama ada mereka perlu buat pemeriksaan lain selain pemeriksaan tubuh badan, perlulah juga perlu dilihat sekiranya untuk mendapatkan publisiti," katanya menyindir.

