Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS membenarkan calon yang layak bertanding pada pemilihan sempena muktamarnya yang ke-59 berkempen secara bersendirian atau berkumpulan untuk merebut jawatan di peringkat Pusat atau sayap parti.

NONEPengerusi Jawatankuasa Pemilihaan Asmuni Awi (kiri) berkata sekalipun PAS memutuskan demikian, calon yang terlibat bagaimanapun tertakluk larangan am serta etika berkempen, yang kini dihitam putihkan.

"Sebelum ini tegahan pun tidak ada, suruhan pun tidak ada. Pandai-pandailah sendiri (memahami peraturan).Garis panduan pun tidak ada.

"Kalau kita tidak benarkan, kempen berjalan juga. Jadi lebih baik kita benarkan berjalan secara sihat," katanya.

Antara panduan itu, tambahnya, boleh menceritakan misi dan visi sendiri tetapi tidak boleh mengutuk idea pihak lain.

Pemilihan ahli jawatankuasa PAS pusat akan berlangsung pada 22 November depan di Stadium Malawati dan keputusannya akan diumum keesokan harinya.

Manakala, pemilihan sayap-sayap akan berlangsung pada 21 November pada waktu pagi dan keputusan akan diumumkan pada sebelah malam.

Asmuni juga mengedarkan senarai larangan am yang ditetapkan oleh parti untuk panduan calon berkempen kepada media antaranya:

(1) Menyalahgunakan program parti untuk mendorong undi perwakilan, termasuk mengeluarkan kenyataan palsu terhadap mana-mana anggota.

(2) Menerbitkan bahan berbentuk fitnah, celaan dan sindiran dalam sebarang bentuk untuk mempengaruhi undi.

(3) Menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dalam parti dan kerajaan untuk mempengaruhi undi.

"Jika didapati calon melanggar atau kita mendapat maklumat secara bertulis, dan kita ada bukti pelanggaran dan peraturan, maka ia bergantung kepada Lembaga Displin parti. Kita tidak boleh menjadi hakim," kata Asmuni yang juga seorang peguam.

Takiyuddin: Kami ada mata-mata

Pengarah Muktamar Datuk Takiyuddin Hassan dalam sidang media sama berkata, hukuman tatatertib akan ditentukan oleh lembaga disiplin dan keputusan boleh dibatalkan jika sabit kesalahan.

NONE"Kita ada spy (perisik) atau mata-mata. Sekiranya kita menerima apa-apa aduan (bahawa ada calon) yang melanggar (peraturan), jawatankuasa pemilihan akan mengangkat kes ke jawatankuasa tatatertib parti untuk diambil tindakan," katanya.

Takiyuddin (kanan) berkata, hanya satu jawatankuasa pemilihan akan menguruskan perjalanannya, termasuk di peringkat sayap parti.

Ahli parlimen Kota Bharu itu berkata, kesemua 13 ahli jawatankuasa pemilihan tidak dibenarkan bertanding mana-mana jawatan pada mana-mana peringkat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS