Aktivis diberi kata dua, berundur atau dipecat
Seorang aktivis yang disabitkan kesalahan kerana terlibat dalam perhimpunan menolak pengambilalihan pentadbiran Perak oleh BN pada 2009, semalam mendakwa diminta berundur daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau ditamatkan perkhidmatan.
Bad Latif Mansor, kakitangan pengurusan kanan di GLC itu berkata, beliau dimaklumkan berhubung perkara itu apabila kembali bekerja pada 23 September lalu, sepuluh hari selepas disabitkan kesalahan.
"Surat daripada Jabatan Sumber Manusia (HR) menyebut, saya mempunyai pilihan sama ada letak jawatan atau dipecat.
"Saya pilih letak jawatan, walaupun ada yang gesa supaya saya lawan.
"Saya fikir jika saya lawan, saya hanya akan disisihkan, dan saya tidak mahu itu berlaku," kata Bad Latif ketika dihubungi.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata, HR memaklumkannya bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan kod etika syarikat.

