Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemilihan Umno kali ini begitu mencabar sekali, tetapi berbaloi demi menjadikan parti itu paling ke hadapan menegakkan demokrasi dan contoh kepada parti lain.

Katanya, ibu pejabat parti terpaksa bekerja keras untuk membuat persediaan dan persiapan termasuk logistik, lokasi, proses latihan serta panduan bagi melicinkan perjalanan pemilihan walaupun mengakui ada "sedikit masalah" di sana sini.

Bagaimanapun, pada umumnya, jelas Najib pihaknya telah melalui pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kali ini dengan begitu cemerlang selepas pindaan perlembagaan parti pada 2009.

"Bukan mudah untuk mengendalikan pemilihan kali ini. Saya ingin sebut di sini beberapa statistik menggambarkan begitu besarnya cabaran yang terpaksa kita hadapi untuk mengendalikan pemilihan pada kali ini dan perangkaan ini tertumpu pada pemilihan peringkat Wanita, Pemuda, Puteri saja.

"Pertama, bilangan sukarelawan seluruh  negara sebanyak 20,000 orang, calon 33,012; bilangan kertas undi, untuk wanita 110,000; Pemuda 87,000; Puteri 50,000 dan pusat mengundi 572 pusat menundi.

"Cuba bayangkan betapa besarnya kerja yang terpaksa kita lakukan dari segi persiapan logistiknya, tempat, latihan, panduan yang menjadikan pemilihan kali ini begitu mencabar sekali tetapi bak orang kata "berbaloi".

"(Ini) kerana nak Umno nak mendahului proses demokrasi terbuka menjadi parti paling ke depan dalam tegakkan proses demokrasi yang boleh dijadikan model pada parti-parti lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sewaktu meninjau mengenai perjalanan pengumuman keputusan rasmi pemilihan ketiga-tiga sayap parti di PWTC lewat malam tadi.

Sambil mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, beliau berkata, pihaknya akan cuba mengatasi dan memperbaiki masalah yang dilalui hari ini sebagai persediaan untuk pemilihan Majlis Tertinggi (MT) pada minggu depan.

"Dijangka ramai menanti proses (pemilihan MT) itu. Kita tak dapat meramalkan suasana macam ni tapi dapat menarik perhatian bukan saja media tapi seluruh negara dan luar negara. Membukti demokrasi hidup segar dalam Umno," katanya.

Menurutnya, beliau mengambil ketetapan tidak mahu mecampuri urusan pemilihan dan keputusan dibuat oleh jawatankuasa pemilihan parti bagi mengelakkan percanggahan yang boleh mengelirukan.

Menurutnya lagi, jawatankuasa pemilihan Umno sahaja yang akan memberikan keputusan muktamad.

Menjawab soalan, Najib berkata: "Kita lihat bahawa Umno ini bila bilangan begitu ramai...  kalau pun ada politik wang tak semestinya mempengaruhi keputusan sebab ahli-ahli Umno dah tahu siapa dia nak pilih".