Kejayaan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan semalam disifatkan sebagai 'hadiah ketabahan' ketika mengharungi detik getir dalam politik.

Dalam pemilihan 2009, Khairy terpaksa cabaran 'perpecahan' pergerakan itu ekoran pertembungan tiga penjuru, menyebabkan beliau hanya meraih sokongan 37 peratus daripada 820 perwakilan yang membuat perhitungan dan membawa imej Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sekalipun pada ketika itu - tanpa jawatan dalam kabinet - beliau mampu menewaskan pemimpin lain yang berpengaruh dengan mendapat 304 undi berbanding Dr Seri Khir Toyo dengan 284 undi dan Datuk Mukhriz Mahathir 232 undi.

Selepas rombakan kabinet dibuat dan masih tidak tersenarai sebagai menteri - sekalipun ada rajuknya - ia tidak mematahkan semangatnya menerus tugas mendekati dan meraih sokongan anak muda dengan program belia seperti IM4u dan BN Youth Lab di segenap penjuru negara.

Hasil kerja kerasnya berbaloi apabila ahli parlimen Rembau itu mempertahankan jawatan yang dimenanginya dengan sokongan padu Pemuda akar umbi, sekali gus dilihat mampu menyatukan kembali Pemuda akar umbi.

Berdepan tentangan pemimpin Pemuda peringat akar umbi, walaupun diperkukuh dengan kedudukan sebagai menteri kabinet, Khairy tidak dapat mengelak tanggapan bahawa hal itu kelebihannya untuk menang, dan beliau tidak boleh rasa selesa dengannya.

Setakat jam 3.55 pagi tadi, beliau mendapat sokongan 97 undi bahagian daripada kira-kira 70,000 perwakilan Pemuda seluruh negara. Ada cakap-cakap menyatakan beliau menyapu bersih sokongan 191 undi bahagian Pemuda.

Setakat laporan ini ditulis, keputusan rasmi masih belum dikeluarkan.

Idea progresif

Ia sekali gus membuktikan pengaruh dan idea ' progresif ' yang ingin dibawanya mula diterima Pemuda akar umbi. Lebih-lebih lagi, kini beliau dilantik menerajui kementerian yang menitik beratkan pembangunan belia dan sukan negara.

"Kalau kemenangan itu kemenangan yang besar, ini adalah pengesahan bahawa saya sedikit sebanyak telah berjaya membawa pemikiran progresif ini menewaskan kuasa konservatif dalam parti Umno," katanya kepada pemberita bagi mengulas keputusan tidak rasmi kemenangannya malam tadi.

Dari sudut yang lain, ia dilihat sebagai jambatan untuk membawa ideanya itu ke arah transformasi untuk menggugat pembangkang, sekali gus menarik balik sokongan orang muda yang menyebelahi Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Selain itu, imej menantu Pak Lah - bekas perdana menteri - yang menjadi duri dalam daging pada pemilihan 2009, sedikit demi sedikit berjaya dikikis dalam pemilihan yang pertama kali memberi ruang lebih adil kepada akar umbi membuat pilihan.

Sementara itu, perit dengan luka apabila diserang segenap penjuru ekoran kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula bangkit pada saat genting pasang surut karier politiknya.

Walaupun terpaksa melepaskan jawatan menteri kabinet berkaitan hal ehwal wanita akibat kontroversi itu, namun sokongan terhadapnya kian utuh - apabila diisytiharkan mempertahankan jawatannya dengan 100 undi bahagian Wanita setakat jam 3.55 pagi tadi.

Seramai 110,765 anggota perwakilan Wanita seluruh negara terlibat pemilihan pucuk kepimpinan sayap itu semalam. Dengan keputusan itu, bermakna beliau melebarkan pengaruh sokongan yang dimenanginya dalam pemilihan 2009.

Bangkit dari 'tragedi'

Pada pemilihan itu, Shahrizat menewaskan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Tan Sri Rafidah Aziz. Shahrizat mendapat 507 undi manakala Rafidah memperolehi 280 undi.

"Selama dua tahun lepas, saya telah membina kekuatan dalaman oleh kerana tragedi (isu NFC) yang terpaksa saya lalui.

"Saya tahu apa yang saya tidak buat dan saya terus mara kerana saya mahu jadi contoh teladan kepada wanita yang merasakan hidup mereka tiada harapan walaupun ia sebenarnya tidak begitu.

"Satu obor harapan buat mereka yang merasakan hidup ini tiada harapan," katanya kepada pemberita bagi mengulas keputusan tidak rasmi mengenai kemenangannya malam tadi.

Dari sudut yang lain, kejayaan Shahrizat juga bermaksud kegagalan pencabarnya untuk menggunakan isu NFC. Sebaliknya, isu yang ditimbulkan berhubung hasrat mahu 'membersihkan' sayap itu tanpa penjelasan konkrit dilihat sengaja mahu beradu nasib kerana sikap tidak puas hati.

Sehubungan itu, kemenangan kedua-dua pemimpin sayap itu perlu diterjemahkan sokongan kepada mereka dengan gerak kerja berterusan demi memastikan sokongan kumpulan muda dan Wanita tidak beralih arah kepada pembangkang.

Tugas pertama mereka adalah memastikan kejayaan BN pada pilihan raya kecil DUN Sungai Limau pada 4 November depan.