Malaysiakini BERITA

Kamalanathan: Tak perlu pekeliling larang sembelihan

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

VIDEO l 1:47 minit

Timbalan Menteri Pendidikan II P Kamalanathan menegaskan bahawa sekolah tidak dibenarkan menjalankan ibadah penyembelihan korban seperti yang dijalankan di SK Puchong Jaya semasa sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Bagaimanapun, larangan itu bagaimanapun tidak dinyatakan dalam pekeliling tetapi hanya dalam bentuk nasihat kepada pihak sekolah "dari semasa ke semasa".

NONE "Tak (ada pekeliling). Kita akan menasihati dari masa ke semasa. Tak perlu ada perkara itu," katanya ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini.

Jelasnya, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan menasihati sekolah untuk bekerjasama dengan surau berhampiran apabila pihak sekolah memaklumkan mengenai aktiviti tersebut.

"Sebenarnya benda itu (sembelihan korban) tidak boleh. (Perkara) itu dah kementerian siasat. Biasanya tidak boleh, tetapi masalah yang berlaku apabila PPD (Pejabat Pelajaran Daerah) tidak dimaklumkan.

"Kalau dimaklumkan di pejabat PPD, biasanya, mereka akan menasihatkan pihak sekolah bekerjasama dengan surau-surau berhampiran. Itu yang digalakkan," katanya.

Menurutnya, masyarakat umum perlu menyedari bahawa di kawasan sekolah terdapat pelbagai agama dan budaya yang perlu dihormati antara satu dengan yang lain.

Katanya lagi, sekiranya pihak sekolah memohon kelulusan daripada PPD, pejabat tersebut boleh menasihatkan mereka untuk bekerjasama dengan surau yang berdekatan.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung tindakan SK Puchong Jaya yang menjalankan ibadah sembelihan korban di kawasan sekolah tersebut, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai khususnya dari penganut Hindu.

Bagaimanapun, guru besar sekolah Mohd Amin Bahari mempertahankan tindakan mereka dengan alasan, tiada pekeliling yang melarang sekolah dari menjalankan kegiatan tersebut di premis mereka dan menegaskan pihaknya tidak berniat untuk menghina penganut agama lain.

 

Polis juga dilapor memulakan siasatan ke atas individu bernama "Saravanan" yang dirakam mengadakan perbualan dengan Mohd Amin berhubung penyembelihan korban di kawasan sekolah sempena sambutan Aidiladha lalu, bagi membantu siasatan.