Isu saiz mata pukat: Nelayan rayu jumpa menteri
Sekiranya penyelesaian yang baik berhubung peraturan baru mengenai saiz mata pukat tidak dapat dicapai, nelayan di sekurang-kurangnya lima negeri mungkin terpaksa berhenti menjalankan pekerjaan tersebut.
Mesej berkenaan disampaikan oleh seramai kira-kira 100 orang nelayan yang berhimpun di hadapan Parlimen hari ini untuk menyerahkan memorandum dan mengadakan pertemuan dengan menteri pertanian dan industri asas tani.
Seorang dari wakil nelayan tersebut Cheah Swee Teck berkata ada di kalangan mereka yang tidak turun ke laut sejak 20 hari lalu.
Ada juga yang mendapati pekerjaan itu tidak memberi hasil lagi selepas kerajaan mengurangkan subsidi diesel.
“Peraturan ini (mewajibkan penggunaan pukat dengan saiz mata lebih dari 38mm) menjejaskan 70 peratus dari tangkapan kami, dan ia hanya dilakukan selepas selepas satu pertemuan dengan nelayan.
"Jadi kami meminta untuk menjalankan dialog dengan menteri supaya boleh mencari titik tengahnya. Kita sudah cuba banyak kali untuk berjumpa beliau tetapi tidak berjaya," kata Cheah.
Cheah bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum sepanjang tujuh halaman kepada MP Pakatan Rakyat.
Mereka berharap, MP Pakatan tersebut akan mengatur pertemuan dengan menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri.

