SPRM kemuka syor elak skandal NFC berulang
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan agar projek kerajaan yang dianugerahkan melalui rundingan terus dan melibatkan pinjaman mudah perlu diteliti oleh kabinet, terutamanya jika ia melibatkan “keluarga dan sekutu”.
Ia merupakan salah satu syor SPRM dalam laporannya untuk tahun 2012, yang didedahkan semalam. Laporan itu turut mengesyorkan untuk mewajibkan pengisytiharan konflik kepentingan.
Menurut suruhanjaya tersebut, langkah seperti itu akan dapat menghindari masalah seperti yang berlaku dalam skandal National Feedlot Centre (NFC) daripada terus berulang.
Selain itu, SPRM juga mengesyorkan agar satu “agensi penyelaras” dibentuk untuk menyelia dan menghubungkan kesemua agensi terlibat dalam projek berimpak tinggi seperti NFC.
SPRM juga mengemuakakan syor berikut:
- Mengisytiharkan konflik kepentingan anggota keluarga yang mendapat pinjaman kerajaan
- Garis panduan untuk pinjaman mudah bagi kementerian kewangan serta peranan dan tanggungjawab bagi pihak yang mewakili kerajaan dalam lembaga pengarah syarikat.
Laporan itu turut menggariskan beberapa masalah dalam penganugerahan projek NFC kepada syarikat yang dimiliki dan diuruskan oleh keluarga bekas menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Menurut SPRM, National Feedlot Corporation turut diberikan pinjaman mudah RM250 juta walau tidak mempunyai kemahiran teknikal mahupun kewangan.

