Menteri: Kerajaan belum sedia iktiraf undi popular
Kerajaan masih belum bersedia untuk menggantikan sistem pilihan raya 'first past the post' (FPTP), yang sedia ada, dengan sistem perwakilan setara untuk mengiktiraf undi populariti – kerana ia disifatkan tidak sesuai untuk Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sistem FPTP malah membolehkan kumpulan minoriti diwakili di negara ini.
“Jika sesuatu kaum tidak ada wakil di Dewan Rakyat, kita boleh lantik mereka di Dewan Negara, jadi ia (sistem) terbaik di dunia.
“Malah minoriti paling kecil, seperti Siam, juga ada wakil. Minoriti yang lebih kecil, seperti Sikh, boleh masuk DAP dan ada wakil di Dewan Rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya sedang mengkaji perkara itu, katanya.
Shahidan menjawab soalan yang diajukan oleh Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) yang meminta penjelasan sekiranya kerajaan bersedia untuk menerima saranan jawatankuasa terpilih khas parlimen untuk menambahbaik pilihan raya untuk meneliti sistem perwakilan setara bagi menggantikan FPTP.
Isu berkenaan timbul susulan kejayaan Pakatan Rakyat meraih undi popular yang lebih besar dari BN dalam pilihan raya umum ke-13.
Mengikut FPTP, satu parti atau gabungannya boleh membentuk kerajaan jika memenangi jumlah kerusi paling banyak dengan majoriti mudah, tanpa mengira jumlah undi yang diraih.

