'Tengku Adnan perdaya Dewan isu kuil Jln P Ramlee'
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor "memperdaya" Dewan Rakyat apabila berkata terdapat arahan mahkamah membenarkan perobohan Kuil Sri Muneswarar Kaliyamman, dakwa anggota Parlimen pembangkang.
R Sivarasa (PKR-Subang) berkata, ini kerana mahkamah menegaskan tiada arahan untuk kerja-kerja perobohan kuil di ibu negara itu.
Dalam penghakiman pada 30 Mei 2013, hakim VT Singham berkata, penghakiman pada 5 Julai 2012 tidak termasuk sebarang arahan perobohan dinding bangunan kuil dan ia juga bukan perintah pengusiran.
"Tengku Adnan memperdaya dewan tetapi persoalannya, adakah dia sedar?
"Jika ya, dia menghina dewan dan patut dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan.
"Jika dia melakukan tanpa sedar, dia harus jelaskan pegawai mana yang memperdayanya sehingga dia percaya terdapat perintah mahkamah dan apa tindakan yang akan diambil terhadap pegawai itu," soal Sivarasa.

