Najib isytihar Wanita sebagai tulang belakang parti
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan penghargaan kepada sayap Wanita parti itu dengan mengisytiharkan pergerakan tersebut sebagai “tulang belakang” parti.
Ia bagi menghargai peranan dan kegigihan sayap utama perti itu terhadap parti selama ini, kata Najib yang menambah, kesungguhan tersebut turut ditunjukkan oleh naib ketua Wanita Umno (Azizah Mat Don) semalam.
"Semasa saya menjenguk mereka di persidangan, beliau menepuk-nepuk tulang belakang (ketua Wanita Umno Temerloh) yang sedang berucap pada ketika itu, supaya menyebut bahawa Wanita Umno sangat-sangat mahu digelar sebagai tulang belakang parti.
"Saya mendengar, dan saya timbang-timbangkan permintaan itu. Bila saya fikir-fikir, sebenarnya peranan dan kegigihan Wanita Umno sejak dulu sudah sememangnya amat dihargai dan disanjung tinggi.
"Maka dengan ini, dengan rasminya saya mengisytiharkan pergerakan Wanita Umno Malaysia sebagai tulang belakang atau ibu kepada parti. Terima kasih Wanita!," katanya.
Beliau berkata pagi ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Perhimpunan Agung Umno di PWTC pagi ini, yang turut disiarkan secara langsung melalui televisyen.
Dalam sidang media kemudiannya, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata pengiktirafan yang diberikan adalah satu titik bersejarah kepada wanita Umno amnya dan secara khusus kepada wanita di negara ini.
"Sejarah pembangunan dan emansipasi wanita adalah bermula dengan perjuangan Wanita Umno. Wanita Umno adalah perintis kepada pembangunan Malaysia.
"Dengan pengiktirafan tersebut ia merupakan satu petanda baik atau isyarat yang jelas kepada semua parti politik bahawa Wanita mesti diberi tempat sewajarnya dalam parti.
"Ia juga memberi isyarat bahawa Wanita tidak boleh diperlekehkan atau diguris (perasaannya) tetapi mereka mesti dihormati dan dihargai," katanya Shahrizat.

