'Selesaikan masalah anda, MCA & Gerakan'
Perwakilan Johor Zulkarnain Kamisan mendesak parti komponen BN khususnya MCA dan Gerakan untuk mengembalikan sokongan kaum Cina kepada BN pada pilihan raya akan datang.
Bahkan, beliau juga menggesa parti komponen BN untuk menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi mereka ketika ini dengan segera bagi menjamin penguasaan dua pertiga parlimen pada pilihan raya umum depan.
"Selama lima tahun bermula 2008 hingga 2013 kita menunggu hasil positif daripada mereka tetapi gagal... Tolonglah kembalikan sokongan orang Cina kepada BN.
"Kita tidak mahu pilihan raya umum ke-14, kita hilang daripada persada politik. Kita mahu MCA dan Gerakan bangkit... Tolong selesaikan masalah yang ada dan masalah dalaman parti," katanya dalam perbahasan di Perhimpunan Agung Umno 2013 hari ini.
Menurutnya lagi, Umno sebagai tunjang kepada BN, tidak mahu parti komponen BN bersikap seperti DAP dan PKR yang didakwanya mahu menjadi "hero" yang didakwanya mahu menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.
"Umno Johor tidak akan benarkan perkara ini berlaku," tegasnya.
Sebaliknya, beliau yakin parti komponen boleh bangkit untuk mendapat sokongan kaum Cina dengan melakukan transformasi dan mencontohi Umno yang telah menunjukkan prestasi dengan meningkatkan jumlah penguasaan parlimen daripada 79 kepada 88.
"Mereka memerlukan keberanian dalam transformasi untuk memenuhi keperluan suasana dan kehendak rakyat," katanya.

