IGP: Tiada notis maklum demo di DBKL 16 Dis
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak menerima sebarang notis pemakluman penganjuran himpunan membantah kenaikan cukai taksiran di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Isnin ini
Menurutnya, pihak penganjur yang bertanggungjawab perlu sedia berdepan dengan tindakan undang-undang berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012, jika demonstrasi itu diteruskan.
"Apa pun perlulah mengikut peraturan dalam Akta Perhimpunan Aman. Kalau tidak mengikut undang-undang, bersedialah dengan tindakan yang diperuntukkan bawah akta itu.
"Tiada notis makluman (diberikan)," kata Khalid dalam sidang media di ibu pejabat PDRM di Bukit Aman Petang ini.
Mengikut Akta Perhimpunan Aman, pihak penganjur perlu mengemukakan notis pemakluman 10 hari sebelum sesuatu perhimpunan diadakan.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta penduduk ibu negara tidak turun berdemonstrasi membantah kenaikan cukai taksiran perumahan DBKL 16 Disember ini.
Beliau berkata kerajaan belum lagi membuat keputusan dan akan mendengar setiap aduan mengenai hal tersebut sehingga tarikh tutup pada 17 Disember ini.
Beliau yang juga ahli parlimen Putrajaya itu menegaskan tiada kata putus mengenai kenaikan cukai tersebut, yang hanya akan diketahui selewatnya minggu terakhir bulan ini.

