BERITA

Kajang: Pemuda Umno bayangkan calon bukan MCA

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Jan 2014, 12:03 tengahari

Pemuda Umno mahukan pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak memilih calon terbaik berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan ia tidak semestinya daripada MCA.

Justeru, ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin berharap BN tidak terikat dengan formula lama antara komponennya di DUN itu.

“Kalau kita bertanding kita letak calon terbaik tak kira daripada parti mana.

"Saya tidak kata (calon) MCA tak boleh tapi kita tengok kepada calon. Kalau calon MCA tidak ada, kita beri kepada orang lain.... Beri kita calon yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Khairy juga mengumumkan bahawa keputusan supaya BN meletakkan calon dipersetujui dalam mesyuarat mereka petang ini.

Katanya, walaupun sedar pengosongan kerusi itu sebahagian daripada permainan politik Anwar, BN akan menyertainya bagi menjunjung prinsip demokrasi dan menyerahkan pilihan kepada rakyat.

Penyertaan BN dalam pilihan raya kecil itu bagi menghantar mesej kepada Anwar supaya tidak mempermainkan amanah rakyat “jika hendak menyelesaikan masalah dalaman parti atau mahu capai cita-cita peribadi”, tambah Khairy.

"Pemuda berpendapat dalam pilihan raya, jika ada kekosongan, wajib bertanding. Dalam hal ini, jelas, amanah rakyat dan pengundi dipermainkan dan perlu nyatakan bantahan dengan apa yang berlaku," katanya.

Sementara itu, mengulas ancaman Pemuda PAS yang mahu memboikot kempen pilihan raya kawasan itu, Khairy berkata ia membuktikan sokongan terhadap Anwar tidak lagi padu.

"Tapi itu kita ketepikan. Kalau ada kekosongan kita setuju untuk bertanding," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.