PKR lapor SPRM dakwaan libatkan Taib
PKR akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengaitkan anggota keluarga Tan Sri Taib Mahmud dengan syarikat yang terlibat dalam salah laku berkaitan konsesi balak.
Pengarah strateginya Rafizi Ramli berkata, dokumen berkaitan, seperti didedahkan pembocor maklumat Sarawak Report semalam akan turut diserahkan bersama pada petang esok di SPRM Putrajaya.
Rafizi (
kanan
) berkata,
Sarawak Report
berjaya mengaitkan keluarga Taib apabila mengemukakan dokumen pemindahan wang antara syarikat milik keluarga ketua menteri itu, termasuk syarikat yang dikaitkan dengan salah laku berkenaan.
Justeru, kata anggota Parlimen Pandan itu, penafian Taib di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berhubung perkara itu tidak boleh diterima.
“Kenyataan itu digunakan sebagai alasan untuk menutup skandal yang panas ketika itu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Sementara itu, Rafizi mendakwa syarikat milik adik Taib juga pernah disiasat di Jepun atas dakwaan mengelak cukai atas komisen – yang dianggapnya rasuah – bernilai satu bilion Yen (RM32.6 juta).
"Ini bermakna siasatan di Jepun mengenai tuduhan mengelak cukai sudah tentu akan melibatkan siasatan ke atas Taib Mahmud sendiri melalui bukti-bukti yang mengaitkan keluarga beliau sendiri dengan penerimaan bayaran komisen balak,” katanya.
Sehubungan itu, Rafizi berkata, selagi siasatan masih berjalan, Taib tidak boleh dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang bagi selepas bersara sebagai ketua menteri.

