'Kenaikan kos hidup akan jejas PRK Kajang'
Kajiselidik oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mendapati bahawa pilihan raya kecil (PRK) Kajang mungkin menjadi referendum terhadap kenaikan kos sara hidup.
Kajiselidik ke atas 576 pengundi mendapati 69 peratus responden berkata kenaikan kos hidup akan mempengaruhi mereka untuk menyokong PKR dalam PRK pada 23 Mac.
Pengarah Umcedel, Prof Datuk Dr Redzuan Othman berkata, 76 peratus responden Cina berkata 'ya' dan pengundi melihatnya sebagai satu isu protes.
Bagaimanapun, beliau berkata isu kos hidup di Malaysia, walaupun membebankan ramai orang, tapi belum lagi sampai kepada keadaan "ekstrem" yang boleh mengubah sentimen dan landskap politik.
Menurutnya, isu-isu lain yang menimbulkan kebimbangan tinggi di kalangan 576 responden yang ditinjau adalah keadaan trafik, perkhidmatan dan penyelenggaraan infrastruktur, harga rumah, jenayah dan pendatang haram.
Beliau berkata kebimbangan itu merentasi semua kaum.
"Jika kekurangan tempat letak kereta, ia tidak kira sama ada anda seorang Melayu, Cina atau India," katanya.
Redzuan yang juga seorang penduduk Kajang menambah bahawa sukar untuk mendapatkan rumah di Kajang yang berharga kurang daripada RM1 juta dan ini menyebabkan tekanan pada kakitangan awam yang tinggal di situ yang dekat dengan Putrajaya.
Secara keseluruhannya, 69 peratus yang ditinjau berkata mereka lebih cenderung untuk mengundi PKR kerana isu-isu penyalahgunaankuasa.
Nasib baik untuk PKR, 55 peratus yang ditinjau berkata isu penggunaan kalimah "Allah" tidak akan mempengaruhi mereka untuk mengundi BN.
Di kalangan responden Melayu, jumlahnya lebih tinggi dengan 60 peratus mengatakan mereka tidak akan dipengaruhi untuk menyokong BN kerana isu "Allah".
Ini menunjukkan pengundi tidak suka isu itu digunakan untuk keuntungan politik, kata Redzuan.

