Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang

Perwakilan Pulau Pinang Izuree Ibrahim berkata beliau bimbang kerana kerajaan negeri pimpinan DAP itu lebih cenderung memihak kepada pemaju perumahan daripada membela nasib rakyat negeri itu.

Beliau mendakwa kerajaan negeri itu gagal menyedia dasar perumahan yang prorakyat dalam menangani masalah perumahan, sebaliknya lebih propemaju seperti yang diamalkan BN.

"PAS Pulau Pinang tidak menentang pembangunan pesat. Tetapi kita tidak bersetuju dengan pembangunan yang merugikan rakyat.

"PAS Pulau Pinang bimbang (situasi) terkini trend pemimpin (kerajaan negeri lebih) mesra pemaju daripada membela rakyat," katanya.

Menurutnya lagi harga sekaki tanah di Pulau Pinang kini mencecah antara RM300 hingga RM500 dan sebuah rumah kini mencecah jutaan ringgit.

"Itu tidak termasuk (pelaksanaan cukai) GST, ini akan membebankan rakyat," kata Izuree.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya PAS turut dilibatkan dalam proses merangka polisi perumahan di Pulau Pinang bagi mengemukan cadangan untuk pembangunan lestari di negeri itu.

Beliau membahaskan ucapan dasar presiden bertajuk "Terus Beristiqamah" - yang memasuki hari kedua - dalam Muktamar PAS di Batu Pahat hari ini.

Satu persatu diusir...

Selain itu, beliau juga mengingatkan supaya kerajaan Pakatan Rakyat menghentikan sikap "menutup sebelah mata" mengenai isu perbandaran khususnya pembangunan melibatkan penduduk setempat di negeri itu.

Beliau juga mengingatkan supaya Pakatan membantu pertikaian penduduk di mahkamah apabila tuan tanah atau pemaju menuntut semula tanah yang mereka diami dalam tempoh yang lama.

Antara kampung terlibat, katanya, ialah Kampung Perda di Teluk Bahang, Kampung Mutiara di Batu Feringghi, Kampung Cik Ti, Kampung Pokok Asam di Jelutong, Kampung Batu Uban dan Kampung Bijai di Bayan Lepas dan Kampung Tok Suboh di Seberang Perai.

"Satu persatu perkampungan Islam dan bukan Islam menjadi mengalami pengusiran daripada menjadi mangsa di mahkamah," katanya.

"Cogan kata pakatan pembela rakyat perlu direalisasikan dan diperkasakan dengan tidak menunjukkan sikap serupa denga BN yang terlalu mesra dengan pemaju.

"Jika ciri-ciri ini sudah mula kelihatan sudah tentu rakyat menjadi mangsa kerakusan pemaju dan cogan kata tadi menjadi gimik politik semata-mata," katanya.

Lihat Komen