Menteri kecewa UIA batalkan forum
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata beliau mengutuk Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kerana membatalkan forum mengenai kesederhanaan pada saat-saat akhir, dikatakan kerana seorang pemimpin pembangkang menjadi ahli panelnya.
UIA menarik diri daripada menjadi tuan rumah forum 'The Great Debate Series 2: Everything in Moderation - Ways of Living Together' beberapa jam sebelum ia dijadualkan berlangsung di kampusnya di Gombak malam tadi.
Penaja bersamanya Universiti Nottingham berkata pihak penganjur diberitahu, "pegawai kanan" UIA tidak setuju Ketua Pemuda PKR yang juga Exco negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan) menjadi anggota panelnya.
"Saya tak fikir pihak universiti melakukan perkara yang betul dengan tidak membenarkan acara tersebut. Universiti seharusnya terbuka terhadap debat seperti ini [...]
"Saya kecewa dengan keputusan UIA. Atas apa juga sebabnya. Jelasnya (forum) ini bukan mengenai politik tetapi satu debat mengenai kesederhanaan," katanya kepada Malaysiakini .
Low berkata sesuatu debat harus menampilkan mereka yang berpandangan berbeza "daripada parti apa pun".
Beliau berkata topik itu berkepentingan awam, dan beliau berhasrat untuk mengambil bahagian dalam debat di mana Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah pada masa akan datang.
"Sudah tentu, tiada masalah."
Low membuat komen tersebut selepas Nik Nazmi menggesanya supaya mengutuk pembatalan debat itu, manakala pihak universiti pula digesa memohon maaf atas keputusan itu.
Acara itu ditaja bersama oleh Suruhanjaya Tinggi British dan Universiti Nottingham.
Ketua Pengajian Politik, Sejarah dan Hubungan Antarabangsa Universiti Nottingham Kampus Malaysia, Michael Connors memberitahu Malaysiakini bahawa kehadiran wakil rakyat pembangkang itu tidak disetujui pihak pengurusan kanan UIAM.
Panggilan ke pejabat perhubungan media UIA tidak berjawab.

