Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu menunjukkan "kemarahan" mereka terhadap DAP berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan kerana ia merupakan satu tanggungjawab Islam.

Menurutnya, undang-undang syariah Islam itu hanya melibatkan orang yang beragama Islam dan tidak melibat orang bukan Islam, apatah lagi PAS menunjukkan sikap itu kerana ia diizinkankan oleh Allah.

"Marah ini sifat manusia. Kalau tak ada bukan manusia. Kita marah kepada perkara yang diizinkan Allah. Kalau tak izin, kita tak marah.

"DAP tidak bersetuju dengan hudud, buat kenyataan yang berlawanan dengan Kelantan. Jadi kita ada tanggungjawab kita (menjaga Islam). Kita marah.

"Kita marah sebab ia satu tanggungjawab Islam. Kita mesti marah. Tak marah, tiada kemanisan iman. Sebagai orang Islam, kita kena marah," katanya.

Beliau menjawab soalan hadirin menegur PAS supaya berhenti bersikap memarahi rakan sekutunya DAP dalam Pakatan Rakyat, ketika program “Bicara Harakah” di ibu negara hari ini.

Tak akan berganjak

Ditanya bagaimana PAS mahu membawa agenda Islam termasuk hudud dalam kerangka Pakatan, Hadi berkata PAS wajib memperkenalkan Islam dalam pendekatan aspek, termasuk politik, ekonomi dan sosial.

Selain itu, katanya, PAS menitikberatkan perhitungan dosa dan pahala dalam segenap aspek kehidupan supaya dapat membezakan antara Islam dan ideologi lain.

"Oleh kita secara (memperkenalkan Islam) peringkat demi peringkat," katanya.

Beliau kemudian mengimbau sejarah PAS memperkenalkan Islam sejak menyertai pilihan raya pada 1959.

Perkara itu, katanya,  termasuk membentuk kerajaan bersih sewaktu menguasai Kelantan pada 1990 serta menggubal undang-undang Islam di Terengganu pada 1999.

"Jadi kita mengambil pendekatan demokrasi. Kita mencuba di negeri yang majoriti (kuasai) di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Hadi berkata dalam menggubal hudud, PAS mengambil kira semua pandangan termasuk NGO, parti politik dan ulama Islam serta diuar-uarkan kepada umum.

Beliau juga berkata dukacita apabila wujud di kalangan orang bukan Islam yang tidak setuju dengan hudud walaupun dikenakan kepada orang Islam sahaja.

”Ini sudah melampau. Kita ada batas. Kita tidak boleh lari dari konsep Islam, kita tidak akan berganjak," katanya.

Lihat Komen
ADS