Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selain menyindir tindakan Mazlan Aliman berundur daripada PAS pusat, ahli jawatankuasa parti itu Dr Zuhdi Marzuki juga menyerang NGO Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang diketuainya.

Dr Zuhdi mendakwa NGO " anti-establishment dan agak radikal" itu mengajak anak peneroka Felda menjadi pendesak dan "kadang-kadang memberontak" dalam menyatakan tuntutan mereka.

Beliau berkata "tindakan popular" itu mendapat sokongan pendukung Pakatan Rakyat yang mempunyai kecenderungan itu.

Bagaimanapun, kata Zuhdi, desakan ANAK itu tidak mendapat tempat di hati majoriti peneroka dan anak mereka.

"Pendekatan ANAK ialah ajak anak-anak Felda jadi kumpulan pendesak malah kadang-kadang ' rebellion ' terhadap Felda, sesuatu yang tak dapat diterima oleh mereka kerana Felda begitu banyak berjasa.

"Bagaimanapun, sikap anti-establishment yang dipupuk oleh ANAK memang disukai oleh pendukung Pakatan, menjadikan Mazlan popular dalam lingkaran itu, tetapi kesannya terhadap pengundi Felda minimum," kata kepada Malaysiakini semalam.

Zuhdi ditanya mengenai rancangan PAS seterusnya untuk membela peneroka Felda selepas Mazlan melepaskan jawatan sebagai AJK untuk memfokuskan tugasnya kepada NGO yang diketuainya itu.

Sehubungan itu, Zuhdi yang juga ketua operasi Pusat Penyelidikan PAS berkata parti itu akan mencadangkan "pendekatan alternatif" terhadap anak Felda diperlukan untuk mendekati golongan itu.

"Insya-Allah, PAS akan tubuh sebuah proksi baru anak Felda yang sifatnya lebih mesra peneroka dan prihatin," katanya tetapi enggan mengulas lanjut memandangnya ia berkaitan strategi.

Ditanya mengapa PAS mahu menubuhkan badan baru membela peneroka Felda sedangkan ANAK telah ditubuhkan bagi tujuan tersebut, Zuhdi berkata:

"Beliau dilihat ingin membawa ANAK bergerak sebagai NGO yang bebas dari pengaruh kepartian, dan PAS akan terus membantu tetapi sebagai entiti yang terasing."

Bagaimanapun, Mazlan ketika dihubungi Malaysiakini petang ini berkata beliau mahu Zuhdi supaya menjelaskan bagaimana beliau menyifatkan NGO itu dianggap "radikal" seperti yang didakwanya.

Lihat Komen
ADS