Jangan pandang rendah orang lain, PAS

       

MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengingatkan kepimpinan utama PAS supaya tidak memandang rendah atau bersikap pesimis dengan kewujudan parti baru, apatah lagi ia adalah atas inisiatif anggota PAS sendiri.

Beliau juga berkata bacaan politik kepimpinan PAS tidak harus terikat dengan sejarah silam seperti penubuhan parti serpihan PAS - Hamim dan Berjasa - kerana perubahan zaman dan gaya berpolitik rakyat Malaysia berubah.

"Kepada parti politik yang (sedia) ada, khususnya daripada PAS,  tak boleh memandang kecil terhadap kewujudan parti baru, yang lahir daripada inisiatif ahli PAS sendiri.

"Sebab saya tak nampak bahawa kalau kewujudan parti baru ni, (ia) macam parti-parti politik yang sebelum ni. Ramai orang pesimis terhadap kewujudan parti politik baru sebab sejarah lama. Hamim dan Berjasa. Sejarah lama tu sejarah lama.

"Bagi saya, (ini) perubahan zaman, (situasi) dia berlainan. Bacaan politik tak boleh diwarnai dengan sejarah lama, tetapi harus diwarnai dengan perubahan zaman. Gaya berfikir masyrakat yang lahir pada masa hari ini," katanya.

Beliau menjawab soalan dalam wawancara dengan Malaysiakini mengenai hasrat sekumupulan pemimpin progresif PAS yang berhasrat menubuhkan parti baru susulan tewas dalam pemilihan baru-baru.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan mana-mana ahli PAS yang mahu menubuhkan wadah atau parti baru, maka mereka akan "tenggelam", sebaliknya menggesa ahli beristiqamah dengan perjuangan PAS. Kenyataan itu dikeluarkan ekoran ketewasan pemimpin progresif dalam PAS.

Rakyat menaruh harapan

Sekalipun mengakui ia memberi implikasi kepada PAS dan kekuatan politik baru oleh Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang, Mahfuz bagaimanapun berkata keputusan menubuhkan parti baru adalah hak demokrasi mana-mana pihak dan ia tidak boleh dihalang.

"Tapi apa yang harus dilihat oleh semua orang ialah kepentingan masa depan Malaysia. Masyarakat menaruhkan harapan yang begitu besar kepada Pakatan untuk mengambil alih pentadbiran negara.

"Ini kerana hilang kepercayaan kepada Kepimpinan Umno dan BN yang ada pada hari ini," katanya sambil menambah beliau menghormati hasrat rakan-rakannya itu.

Sehubungan itu, Mahfuz menggesa ketiga-tiga parti termasuk parti baru - jika wujud - berada dalam meja rundingan demi memastikan kewujudkan politik baru terus menjadi harapan rakyat khususnya pada pilihan raya umum ke-14.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai parti baru, pemimpin PAS Kedah itu berkata: "Saya masih YDP (Yang Dipertua) Pokok Sena dan MP Pokok Sena. Berhenti di situ."

Beliau yang bergelumang dengan politik PAS sejak 30 tahun lalu, turut menasihatkan kepimpinan utama PAS menunjukkan "kesediaan" untuk berbincang supaya tidak dilihat mengambil "garis keras" dengan rakan politik pembangkang.

Menurutnya lagi, langkah emosional dan berasaskan sentimen memberi keburukan kepada kedudukan PAS dalam kuasa politik di Malaysia apatah lagi parti itu kini berada dalam lingkungan kuasa politik di Selangor.

Besar jiwa, rendah ego

"Maka (ia) akan beri kesan yang tak sihat kepada PAS, dan sekaligus beri kesan kepada Pakatan Rakyat.

"Bila ia memberi kesan kepada Pakatan Rakyat, ia beri kesan dengan timbulnya krisis kepercayaaan rakyat kepada orang politik," katanya bagi mengulas sikap PAS yang dilihat mahu bersendirian dan memutuskan hubungan dengan parti lain.

Menurutnya lagi, semua pemimpin utama pembangkang yang dianggapnya seperti negarawan termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng sepatutnya berjiwa besar dan merendahkan ego mereka.

"Tak ada rugi pun kalau berjiwa besar. Yang lebih penting, prinsip tak tergadai, matlamat kita tercapai," katanya.

Beliau turut menggesa kepimpinan PAS sekarang ini perlu berfikiran tajam dan mendahului zaman dengan melihat kerangka politik yang lebih luas dan tidak dipengaruhi oleh kumpulan tertentu yang berada di sekeliling mereka.

"Ini kerana kalau PAS kalau nak kekal dan terus relevan dalam acuan politik Malaysia, sebagai sebuah parti politik besar, PAS harus terima proses perubahan zaman dan cara berfikir masyarakat dan rakyat hari ni

"Orang sertai PAS  hari ni, bukan kerana sentimen PAS parti pembangkang. Orang nak masuk PAS, bukan semata-mata nak lihat PAS lawan kerajaan.

"Tetapi orang hari ni menyertai PAS dengan membuat perkiraan melalui kebijaksanaan berfikir, dan cara berfikir (mereka) hari ini sangat kritikal," katanya.

Siri 1: Pasca muktamar, Mahfuz risau Kelantan tumbang

Siri 2: Mahfuz: Beri keahlian penuh pada bukan Islam

Siri 3: Bahana 'usul panjang jadi pendek' PAS

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda