Pandikar: PM tak perlu jawab soalan jika timbalan ada
PARLIMEN Tiada keperluan bagi menteri termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjawap soalan di Parlimen jika timbalan mereka bioleh berbuat demikian, kata speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Pandikar berkata demikian ketika Anthony Loke (DAP-Seremban) meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong menjawap soalan yang diajukan kepada Najib atas kapasitinya sebagai menteri kewangan.
"Mengapa menteri kewangan ada tapi tak jawab, dan yang jawab adalah timbalan menteri," kata Anthony yang bangun bertanyakan soalan tambahan.
Tindakan Loke itu mengundang kemarahan Pandikar dan anggota Dewan mula bersorak.
"Tak semestinya menteri yang berkenaan yang menjawab.
"Semua YB tolong senyap dahulu... Bagi setiap perbahasan, kita jangan politikkan. Jangan, jangan, Itu gangguan kepada kelicinan mesyuarat.
"Itu agenda peribadi politik... Jangan, sudah," kata Pandikar.
Loke kemudiannya bangun dan menjawab bahawa beliau tidak mengganggu perbahasan dan ia bertentangan dengan semangat pembaharuan parlimen yang ingin dibawa oleh beliau sendiri.
"Sebab itu menteri kena jawab," kata wakil rakyat DAP itu yang diiringi dengan sorakan.
"Yang lain tolong diam. YB Seremban sila duduk," pintas Pandikar.
"Saya ulang kembali tidak semestinya menteri jawab setiap soalan. Ini semua kita fahami sejak dahulu. Perkara ini sudah selesai.
"Kalau menteri tak jawab, disuruhnya timbalannya. Yang penting jawapan daripada kerajaan. Jangan kaitkan saya dengan perkara yang sudah selesai ini," katanya.
Hal demikian menyebabkan Loke terus bangun untuk bertanyakan soalan tambahan tetapi speaker mengarahkan beliau duduk.

