Parti Amanah Negara (AMANAH) menyeru kepada Jawatankuasa Penasihat Syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya meneliti beberapa isu patuh syariah khususnya melibatkan harta sepencarian dan pelaburan badan itu.

Jawatankuasa penasihat syariah itu bakal ditubuhkan dan sebahagian daripada cadangan dimasukkan dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) KWSP itu yang dibahaskan pada sesi kali ini.

Bercakap sewaktu membahaskan RUU KWSP (Pindaan) 2015, Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang) membangkitkan mengenai penama dan pentadbir wang caruman itu jika berlaku kematian pencarum, berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes seumpama itu di mahkamah.

Peguam itu berkata apa lebih merisaukan mengenai wujud pertikaian mengenai siapa yang berhak mewarisi wang apabila pencarum yang sebelum itu bukan Islam dan akhirnya meninggal dunia selepas memeluk Islam.

Menurut Hanipa lagi, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada penama yang dinamakan oleh pencarum KWSP juga dianggap sebagai pentadbir harta.

"Persoalannya, jika dia menamakan orang bukan Islam, timbul isu, adakah orang bukan Islam tidak boleh mentadbir harta orang Islam.

"Undang-undang kata penama boleh tadbir harta, harta orang Islam. Jadi isu perlu dibincangkan oleh penasihat syariah ini. Kalau perlu buat pindaan, kena buat pindaanlah... Jika tidak, keluarga pencarum akan bergaduh.

"Ia juga melibatkan pertembungan kuasa mahkamah iaitu mahkamah mana nak mendengar (permohonan tuntutan wang). Saya harap KWSP boleh diambil peduli perkara ini," katanya.

Kenapa baru sekarang?

Hanipa juga membangkitkan kebimbangan orang ramai sama ada KWSP mematuhi syariah kerana badan itu turut melabur dalam firma pelaburan 1MDB yang turut melabur di Kepulauan Cayman.

"Jadi mereka bertanya kedudukan wang itu, adakah pelaburan itu, walaupun secara tidak langsung, ia terlibat dengan pelaburan (yang mematuhi) syariah," katanya.

Hanipa juga sebelum itu, meminta menteri kewangan menjawab sama ada penubuhan jawatankuasa tersebut kali ini, menunjukkan sebelum ini tiada panel pelaburan syariah dalam KWSP untuk memantau pelaburan badan itu.

"Ia seolah-olah sebelum ini macam tidak ada satu jawatankuasa syariah yang memantau pelaburan KWSP. Kita ingin tanya, mengapa baru sekarang nak ditubuhkan.

"Apakah status pelaburan, kerana tiada panel syariah, adakah pelaburannya bercanggah dengan syariah," katanya.

Sementara itu, Siti Mariah Mahmud (AMANAH-Kota Raja) pula sebelum itu mahu Lembaga Penasihat Syariah KWSP ini mentafsirkan sama ada wang caruman KWSP menjadi sebagai harta sepencarian.

Ini kerana, katanya, wujud kes apabila isteri yang diceraikan memfailkan permohonan di mahkamah sivil untuk menuntut wang caruman itu, sebagai harta sepencarian memandangkan peruntukan undang-undang yang berbeza antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

"Jadi harta sepencarian melibatkan KWSP perlu ditafsir supaya isteri yang diceraikan juga mempunyai hak terhadap harta itu," katanya.