Paling Popular
Terkini

PULASAN | Kalau mengikut kelaziman politik moden, lepaslah 100 hari. Tapi belumlah mencapai 200 hari.

Umumnya hari pertama Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden ialah pada 1 Julai 2018. Demokrasi yang diamalkan Umno membolehkan beliau dilantik mengisi tempat Najib Razak.

Pada 1 Julai itulah Ahmad Zahid mengumumkan gagasannya untuk merombak semula Umno selepas parti itu terduduk teruk ditolak rakyat yang mengundi pada 9 Mei 2018.

Ahmad Zahid juga mengumumkan rancangannya menjenamakan semula BN. Berbanding Umno, BN itulah yang lebih parah sakit dan lukanya dalam pilihan raya umum (PRU) berkenaan.

Lihat saja pencapaian parti komponen BN selepas PRU ke-14. Apa jadi kepada MCA dan MIC? Gerakan, tak usah ceritalah.

Selepas 171 kemudian Ahmad Zahid yang sama itulah mengumumkan keputusannya menyerahkan kuasa presiden kepada timbalannya, Mohamad Hasan.

Zahid - yang masih mempunyai kerusi di Dewan Rakyat - menghulurkan 'baton kuasa' untuk mengemudi Umno kepada Mohamad yang kini tidak lagi mempunyai sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Antara Zahid dan Mohamad

Tapi itulah yang berlaku. Ahmad Zahid memilih detik di hujung-hujung 18 Dis 2018 bagi mengumumkan keputusan berkenaan.

Pedulilah apa istilah yang digunakan untuk menjelaskan peralihan kuasa berkenaan, sama ada bercuti, berundur atau mengambil jalan tengah

Itu adalah bahasa politik dan diplomasi bagi menjaga air muka daripada diketawa musuh. Suka atau tidak, begitulah.

Dan suka atau tidak juga, secara umum Mohamad lebih diyakini untuk mengemudi Umno berbanding Ahmad Zahid. Tolak ke tepilah seketika faktor bagaimana bakat pengucapan awam kedua-dua tokoh itu. Mohamad tetap lebih kelihatan berwibawa berbanding Ahmad Zahid.

Tidak dapat tidak, memang ada yang bersedih. Cuak pun, tentulah banyak. Beralihnya kuasa nakhoda parti bermakna berubah juga cara pendekatan dan strategi.

Kesedihan dan cuak itu pula bukan saja dialami oleh orang Umno. 'Kawan baru Umno' versi Ahmad Zahid juga sedikit sebanyak akan tersentuh nalurinya.


Baca Sakralnya Umno


Selama ini Ahmad Zahidlah yang memberikan harapan buat PAS. Selain Ahmad Zahid, cuma Annuar Musa, Ismail Sabri Yaakob, Shamsul Anuar Nasarah yang ketara menari seirama dengan bekas timbalan perdana menteri itu.

Oh, jangan lupa Lokman Noor Adam juga.

Mohamad - ada jugalah sesekali nampak. Misalnya beliau hadir pada himpunan memarahkan Pakatan Harapan di Jalan Raja Kuala Lumpur pada 8 Dis lalu.

Pada himpunan itu jugalah - di depan Mohamad - Ahmad Zahid menyerukan sekali lagi perpaduan dan penyatuan bangsa Melayu bersama PAS.

PAS pula - melalui presidennya Abdul Hadi Awang - boleh tahan liciknya. Dia tidak menyentuh atau mengulas langsung. Seolah-olah ayat Ahmad Zahid itu tidak dilafazkan langsung.

Satu lagi kemungkinan ialah, tahap kiasan dan mantiq Ahmad Zahid tidak cukup tinggi untuk dilayan Abdul Hadi. Maka ajakan Ahmad Zahid terbang dibawa angin sepoi-sepoi bahasa di sini dan sana.

Usah menampi padi

Salah seorang naib presiden Umno yang lantang dan lebih matang - Mohamed Khaled Nordin - langsung tak nampak bersetuju dengan sifir berkawan dengan PAS. Walaupun tidak menyatakan secara jelas, langkah Mohamed Khaled lebih menjurus kepada pemulihan Umno tanpa bantuan PAS.

Kemudian bekas menteri besar Johor itu dihantar Ahmad Zahid untuk menjaga Perlis.

Kemudian satu demi satu gelombang pemimpin Umno meninggalkan parti. Salah seorang daripada mereka juga tergamak dan berani memberi kata dua buat presidennya sendiri. 

Ia adalah petanda yang baik kepada amalan politik yang baik.

Kalau padi katakan padi,

Tidak presiden tertampi-tampi;

Kalau benci katakan saja benci,

Barulah Zahid faham mengerti. 

Menegur secara terbuka dan tidak berbasa-basi juga isyarat yang baik di bawah Malaysia Baru. Dan disambut dengan sikap yang baik juga oleh Ahmad Zahid.

Berundur selepas tahu ramai tidak meyakini kewibawaannya adalah petanda bahawa Ahmad Zahid berjiwa besar. 

Bukan kemahuan ramai

Dia mendengar dan memahami desakan yang datang dari partinya sendiri. Pedulilah 'luka' yang dialaminya akibat sikap orang Umno itu. Tentulah besar juga.

Tapi ia perlu untuk menyelamatkan Umno. Bukanlah PAS yang boleh menyelamatkan Umno kerana PAS sendiri belum tentu selamat. PAS sendiri mungkin perlukan Umno untuk kekal selamat.

Pada masa sama Malaysia Baru memerlukan pembangkang yang kuat dan berprinsip. Melompat selepas kehilangan kuasa - dan sesetengahnya kelihatan menjilat lazat ludah sendiri - bukanlah suasana yang diidamkan rakyat yang celik politik.

Kini Umno di bawah Mohamad menarik untuk dilihat. Sebagai orang Negeri Sembilan peribahasa, kiasan dan bidalan beliau memang selalu mempersona. Lebih penting, ia menikam dalam seni dan bersifat 'garam', bukannya langau.

Menarik untuk melihat bagaimana Mohamad menyusun semula Umno pasca-PRU ke-14. Misalnya, di mana beliau akan meletakkan orang seperti Khairy dan Mohamed Khaled selepas ini.

Tidak kurang seronoknya untuk dipandang ialah, di mana PAS nak meletakkan sikap mereka. Tapi biasalah, kadang-kadang langkah mereka sukar difahami. Semuanya kerana mantiq mereka yang sangat tinggi.

Mohamad tentu lebih lincah bersilat dengan PAS berbanding Ahmad Zahid.

Untuk rekod tarikh 18 Dis sebenarnya agak menarik juga. Ia adalah tarikh lahir Steven Spielberg seorang pemain perfileman yang hebat dan berpengaruh. Dia lahir 72 tahun lalu.

Kublai Khan juga secara rasmi menamakan semula empayarnya sebagai Yuan, dan bermulalah Dinasti Yuan pada 18 Dis 1271.

Tarikh 18 Dis juga diisytihar sebagai Hari Migran Antarabangsa. Sayu juga mengenangkan nasib Ahmad Zahid yang membuat pengumuman langkahnya itu pada hari dunia memperingati migran antarabangsa.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang kadang-kadang mengah melihat cara politik sesetengah menteri.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS