Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Omar, kubur Nik Aziz dan 7 isu utama Kelantan 2018

Hal-hal berlalu menjadi tempat untuk meletakkan kenangan. Sama ada ia sebagai sejarah, pengalaman atau peristiwa yang mahu dilupakan sekali pun.

Sepanjang 2018, negeri Kelantan tidak ketinggalan dan terus menjadi tumpuan rakyat Malaysia dalam mewarnai kerencaman arus kehidupan dengan pelbagai sisi.

Tanah Serendah Sekebun Bunga itu sering mencuri tumpuan sama ada kerana faktor politik, ekonomi mahu pun aspek sosial masyarakatnya. 

Lebih-lebih lagi pada 2018 yang begitu bersejarah buat Malaysia apabila menyaksikan pertukaran kerajaan pusat buat kali pertama.

Kelantan tidak ketinggalan menyumbang isu-isu yang mengejutkan, mencetus debaran, mengalirkan emosi, dan mencipta inspirasi tersendiri.

1) Nik Omar jadi calon PRU14

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-114 lalu, negeri yang ditadbir PAS sejak tahun 1990 itu menyaksikan anak lelaki sulung bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar melangkah ke pentas politik secara langsung.

Selepas pelbagai desas-desus, Nik Omar akhirnya muncul pada hari penamaan calon 28 April dan mengesahkan menjadi calon Pakatan Harapan (PH) dengan bertanding di dewan undangan negeri (DUN) Chempaka.

Walaupun tewas, kemunculan abang kepada Anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh itu membuka mata ramai dengan penampilan dan perwatakan politik tersendiri bersama Parti Amanah Negara (AMANAH).

Bagaimanapun, langkahnya dilihat penuh cabaran. Selain ditentang adik-beradik lain yang berada dalam PAS, penyertaan Nik Omar ketika itu juga dikatakan tidak mendapat restu ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Sepanjang kempen PRU14, beliau dibawa jelajah ke seluruh negara untuk menyampaikan ceramah di pentas-pentas politik PH secara tidak langsung menyumbang kepada kemenangan PH.

Kini, beliau diberi tanggungjawab sebagai Yang di-Pertua Yayasan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Yadim).

2) Istana tarik gelaran Husam, Wan Rahim

Pada 7 Februari lalu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, bersetuju menarik balik Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk daripada Naib Presiden Amanah Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Husam yang kini anggota Dewan Negara kemudiannya menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang turut membawa gelaran Datuk sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi Yang Ke-80, Gabenor Negeri Melaka Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob, pada 12 Oktober lalu.

3) Dr Mahathir dihalang ziarah kubur Nik Aziz

Hasrat Dr Mahathir Mohamad untuk melawat pusara bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dihalang.

Pada kejadian 6 Mei lalu itu, keluarga bekas mursyidul am PAS itu beranggapan ziarah Dr Mahathir yang pada waktu itu mempunyai kepentingan tertentu.

Pihak keluarga Allahyarham bertindak mengunci pintu pagar utama tanah perkuburan yang terletak di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu itu selain menghalang laluan menggunakan sebuah lori.

Susulan itu, Dr Mahathir yang ketika itu dalam siri kempen PRU14 ke Kelantan terpaksa membatalkan hasratnya. 

4) PAS kekal perintah Kelantan

Meskipun PRU ke-14 menyaksikan tumbangnya kerajaan BN dan pertukaran kerajaan pusat, PAS berjaya mengekalkan pentadbirannya di Kelantan, malah meluaskan pengaruh Pantai Timur dengan menawan negeri Terengganu.

Di Kelantan, PAS berjaya memenangi 39 kerusi DUN dan sembilan kerusi parlimen.

5) Isu pembalakan dan Orang Asli

Isu pembalakan dan penentangan Orang Asli di Gua Musang adalah masalah panjang yang sentiasa menjadi polemik di negeri itu saban tahun.

Ia susulan masyarakat Temiar di Gua Musang mendakwa aktiviti pembalakan di kawasan penempatan mereka diceroboh dan mengganggu kehidupan mereka.

Justeru, mereka melalui gerakan NGO melakukan pelbagai protes antaranya membina sekatan, demonstrasi dan memorandum kepada kerajaan sebagai usaha agar aktiviti tersebut dihentikan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Kelantan sebaliknya mempunyai alasan tersendiri dalam meneruskan perancangan mereka antara seperti projek penanaman durian kunyit.

Kelantan mendakwa, projek yang dijalankan dikawasan itu tidak mengancam kehidupan masyarakat setempat. Malah tuntutan Orang Asli supaya kerajaan negeri mengisytiharkan kawasan Tanah Adat juga tidak dilayan.

6) Lelaki 41 tahun kahwini kanak-kanak

Seorang lelaki berusia 41 tahun dari Kelantan menggemparkan negara apabila berkahwin dengan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.

Isu perkahwinan bawah umur itu menimbulkan kritikan banyak pihak yang dianggap melanggar undang-undang dan tidak mendapat kelulusan mahkamah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail berkata perkahwinan tersebut tidak sah dan pasangan itu perlu dipisahkan.

Badan Peguam Malaysia pula menggesa kerajaan menubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak untuk mengkaji perkahwinan bawah umur dan isu lain berkaitan kanak-kanak di Malaysia.

Pada masa sama, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) menggesa kerajaan bertindak tegas termasuk meminda Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak.

7) Maahad Darul Anwar

Maahad Darul Anwar dilanda kontroversi dengan isu pewaris apabila pihak Keluarga Besar Nikmatillah memohon supaya Yayasan Islam Kelantan (YIK) menguruskan sekolah peninggalan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.

Namun, anak lelaki sulung bekas menteri besar Kelantan, Nik Omar Nik Aziz tampil mempertahankan sekolah yang menurutnya diwasiatkan kepadanya.

Sebagai pengerusi ahli lembaga dan pemegang amanah Maahad Darul Anuar, Nik Omar berkata pihaknya tidak pernah membuat keputusan untuk menyerahkan pengurusan dan pentadbiran sekolah agama terbabit kepada YIK.

Sehingga hari ini, isu Maahad Darul Anuar belum menemui jalan penyelesaian, manakala YIK dikatakan sudah mula melaksanakan kerja mengambil alih pengurusan sekolah termasuk membuat pendafaran pelajar baru bagi sesi 2019.

8) Tok Pa keluar Umno

Pada 18 September lalu, bekas pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed tampil mengejutkan pentas politik negara selepas bertindak keluar daripada Umno. 

Selepas 40 tahun bersama Umno, anggota parlimen Jeli itu menjelaskan langkah itu diambil setelah membuat beberapa pemerhatian terhadap lanskap politik negara, hala tuju Umno dan BN serta masa depan negara.

Kira-kira sebulan selepas itu, Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa mengumumkan penyertaannya ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Dr Mahathir.

9) Royalti petroleum

Isu royalti petroleum kepada Kelantan sentiasa meniti dibibir rakyat, khususnya pada penyokong dan perjuangan bagi menuntut hak hasil bumi negeri itu.

Pada 24 Oktober lalu, kerajaan Kelantan membuat keputusan untuk menarik balik saman mereka ke atas Petronas dan kerajaan persekutuan bagi menuntut bayaran royalti petroleum di perairan negeri itu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menjelaskan perkara itu diputuskan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri dan saman yang difailkan pada 2011 ditarik balik susulan komitmen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu seperti dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara.

Pada PRU ke-14 lalu, PH dalam manifestonya turut memberi penekanan untuk mengembalikan hak royalti minyak kepada negeri-negeri berkaitan.

Bagaimanapun, untuk negeri Kelantan, sehingga kini difahamkan belum ada sebarang bayaran royalti dibuat.

Lihat Komen
ADS