Malaysiakini BERITA

Ijazah palsu: Jangan lari dari persoalan asal, kata penganalisis

Yasmin Ramlan  |  Diterbitkan

Mana-mana pihak politik jangan lari daripada persoalan utama tentang isu ijazah palsu yang melanda pemimpin mereka, kata beberapa penganalisis politik.

Mereka merujuk kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang membela Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya yang mendapat ijazah daripada Cambridge International University (CIU) Amerika Syarikat, didakwa sebagai 'kilang pengeluar sijil'.

Bagi mereka, persoalan utama adalah kejujuran dan integriti pemimpin, bukan sama ada ijazah diperlukan untuk menjadi ahli politik atau tidak.

"Isu sebenarnya bukan pemimpin perlu ijazah atau tidak, itu sudah lari daripada persoalan asas.

"Tetapi bagaimana penipuan berlaku - seseorang yang mendakwa ada ijazah dari sebuah universiti walau sebenarnya tidak.

"Ia menggambarkan peribadi dan karakter pemimpin itu. Kalau hal begini pun sanggup menipu, bagaimana dengan soal-soal besar," kata pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Jeniri Amir ketika dihubungi.

Jeniri Amir

Justeru, beliau menyifatkan tindakan beberapa pemimpin PH yang mempertahankan Marzuki sebagai menghairankan.

Antaranya Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir yang berkata yakin Marzuki dipilih sebagai timbalan menteri bukan kerana kelayakan akademik, dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang menyifatkan ia bukan masalah jika pemimpin mempunyai sifat amanah.

Selain Marzuki, beberapa lagi pemimpin PH yang dilanda dakwaan sama ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Menteri Besar Johor Osman Sapian dan Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong.


BacaGuan Eng berhak saman pihak pertikai kelayakannya - Tony Pua


Hari ini bekas perdana menteri Najib Razak juga didakwa isu sama, apabila Adun Keranji Chong Zhemin mendakwa beliau tidak menamatkan pengajiannya di Universiti Nottingham.

'Integriti, akademik seiring'

Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata dua kriteria itu - integriti dan kelayakan akademik - penting untuk anggota kabinet.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Rais Yatim yang menyifatkan kelayakan akademik tidak penting untuk ahli politik kerana ia bukan bidang yang boleh diajar dan 'disekolahkan' sepenuhnya yang menjadikan Ghafar Baba yang menjadi timbalan perdana menteri pada 1986-1993 sebagai contoh.

Bagaimanapun Rais tetap berkata tindakan menipu sijil oleh mana-mana individu adalah salah.

Awang Azman berkata, zaman Ghafar - yang hanya berkelayakan SPM - tidak boleh disamakan dengan sekarang.

Ghafar Baba

"Zaman dulu hanya ada lima universiti awam, tetapi kini ada lebih 20 dan ini tidak termasuk universiti swasta," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau mendakwa pemimpin politik negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Jepun kebanyakannya mempunyai latar pendidikan yang baik.

"Bermakna untuk menjadi pemimpin politik pada abad ke-21 ini, ijazah dilihat faktor... Tak boleh nafikan (perkara ini) hanya untuk menjaga hati orang politik.

"Pandangan Rais betul, tapi untuk ahli parti biasa. (Untuk memimpin negara) ijazah sesuai dengan negara yang mahukan modal insan berkualiti untuk mentadbir, menggubal dasar dan menjadi teladan kepada rakyat," katanya lagi.

Katanya, Dasar Pandang ke Timur yang sering dilaung Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah tercemar apabila isu integriti seperti ini berlaku kerana ia "bermula dengan pemimpin sendiri".

'Zaman berubah'

Sementara itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Kartini Aboo Talib Khalid sependapat dengan Awang Azman berkenaan kelayakan akademik.

"Perubahan masyarakat menyebabkan persaingan kian kompleks, dan petunjuk status dan maksud kejayaan juga berubah.

"Pemikiran lama sekamin tidak relevan. Politik moden lebih dinamik dan rakyat makin matang, maka latar belakang pemimpin sangat penting," katanya kepada Malaysiakini.

tetapi katanya lagi, ia juga bergantung kepada keadaan kerana ada ahli politik yang tiada kelayakan akademik tinggi tetapi berpengalaman luas dalam arena itu, yang akhirnya banyak membantunya.

Untuk rekod, ada juga pemimpin PH yang mengkritik tindakan Marzuki.

Antaranya Pengarah Strategi Bersatu, Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang berkata beliau perlu memohon maaf dan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan tindakan pemalsuan ijazah sebagai "tidak bermoral".