Putrajaya bertindak terlalu tergesa-gesa dalam memutuskan untuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas badan kehakiman, kata bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung kebebasan hakim dan peguam, Param Cumaraswamy.

Param, yang juga bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, berkata dakwaan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavitnya yang menggemparkan itu perlu dipastikan terlebih dahulu.

"Adalah pramatang bagi kerajaan untuk memutuskan menubuhkan sebuah RCI berdasarkan afidavit Hamid Sultan dalam menyokong saman oleh Sangeet Kaur Deo ke atas pejabat ketua hakim negara.

"Hujah saman Sangeet berdasarkan pada khabar angin," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan akan membentuk RCI tetapi terma rujukan suruhanjaya itu belum diputuskan.

Dalam afidavit 65 halaman yang difailkan Khamis lalu, Hamid Sultan mendakwa wujudnya kepincangan dan salah laku dalam badan kehakiman. Antara dakwaannya terdapat hakim-hakim tertentu bersubahat dengan ahli politik dan sektor swasta untuk menipu duit rakyat.

Selain itu, beliau dalam afidavitnya juga turut mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam perbicaraan dan menyebut kes Liwat II Anwar dan rayuan kes hasutan bekas pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh sebagai contoh.

Hamid Sultan juga berikrar mendedahkan lebih banyak butiran jika RCI ditubuhkan dan menyatakan rasal kesalnya kerana Ketua Hakim Negara Richard Malanjum tidak memohon supaya RCI tu ditubuhkan.

Mengulas lanjut, Param mengulangi tuduhan Hamid tidak terbukti.

[Baca berita penuh]