Himpunan serah memo IPCMC tetap diterus walau tiada kelulusan
Penganjur akan tetap meneruskan perarakan penyerahan memorandum menuntut penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) walaupun tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.
Menurut penganjurnya, S Arutchelvan, surat kebenaran telah diberikan kepada balai polis Sentul dan Dang Wangi pada 26 Mac, iaitu lebih dari 10 hari sebelum tarikh berhimpun iaitu pada 8 April.
Namun, katanya ia tidak diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana merasakan tiada keperluan berbuat demikian.
"Kami rasa tak perlulah (berikan kepada DBKL), kami rasa polis mentafsirkan Padang Merbok ini tuan punya di bawah DBKL. Kami tidak melihat sebegitu, kami melihat sebagai tempat awam.
"Masa kita bagi surat, dia (polis) tak bagitahu kami, dan memang kami tak minta kebenaran DBKL kerana tak perlulah kerana event (penyerahan memorandum) di Parlimen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut surat balas daripada ibu pejabat polis Dang Wangi hari ini menyatakan penganjur tidak memenuhi syarat Seksyen Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu tidak mendapatkan surat kelulusan dari pihak DBKL selaku tuan tanah untuk mengadakan perhimpunan di kawasan tersebut.
Kata Arul, lokasi di Padang Merbok hanya untuk tujuan berkumpul sebelum berarak ke Parlimen, memandangkan kenderaan tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan tersebut.
Menurutnya, pihak polis sepatutnya memaklumkan skeurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh berhimpun, dan bukannya pada saat-saat akhir.
Tambahnya, pihak penganjur akan memastikan tiada gangguan terhadap orang awam ketika himpunan itu berlangsung.
Sebelum ini, terdapat gesaan ke arah penubuhan IPCMC dan ia timbul sekali lagi selepas polis Cawangan Khas (SB) didakwa bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.






