Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM takkan sahkan pengisytiharan aset kecuali ada aduan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan menyemak atau  mengesahkan pengisytiharan harta yang dibuat oleh anggota eksekutif dan anggota Parlimen.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shamsun Bahrin Mohd Jamil berkata, undang-undang tidak mewajibkan suruhanjaya antirasuah itu untuk berbuat demikian.

"Bagaimanapun, jika kita mendapat tahu kemudiannya melalui aduan atau seseorang membuat laporan mengatakan bahwa maklumat yang dibekalkan adalah palsu, kita boleh menyiasat.

"Kita menganggap bahawa apa yang diisytiharkan adalah betul, sama ada munasabah atau tidak, kami akan menerimanya ... melainkan terdapat aduan atau laporan yang dibuat," katanya  kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, kata Shamsun Bahrin, jika mereka kemudian mendapati maklumat tersebut palsu - selepas ada pihak membuat aduan - SPRM akan menyiasatnya.

"Kami mengandaikan apa yang diisytiharkan adalah benar. Sama ada ia munasabah atau tidak, kita akan terima, kecuali ada aduan atau laporan dibuat," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong sebelum ini berkata terpulang kepada SPRM untuk menyiasat jika Menteri Pelancongan Mohammadin Ketapi telah membuat pengisytiharan palsu apabila mengisytiharkan aset sebanyak RM9,388.

Mengulas mengenai kes Mohammadin ini, Shamsun berkata SPRM hanya 'penyimpan' pengisytiharan aset.

"Kamu perlu tanya kepada menteri sendiri (jika dia isytihar di bawah nilai) kerana kita tidak mengesahkan maklumat yang diterima.

"SPRM hanya "penjaga" pengisytiharan aset yang diberikan kepada kita," katanya.

Mohammadin minggu lalu berkata aset bernilai RM9,338 itu merujuk kepada motosikal miliknya, memandangkan beliau tidak memiliki harta.

Menteri itu juga berkata beliau tidak mahu membeli harta, sebaliknya menyimpan wang bagi tujuan persaraan.

Menurut portal pengisytiharan harta SPRM, gaji menteri berkenaan adalah sebanyak RM54,979.53 sebulan.

Mohammadin juga mendakwa tidak memiliki harta kerana rumah keluarganya adalah miliki isterinya.

Menariknya, rumah berkenaan tidak diisytiharkan, walaupun portal itu menjelaskan pengisytiharan harta termasuk aset milik isteri.

Shamsun sebelum ini juga mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa aset yang diisytiharkan juga mesti termasuk simpanan tunai.

'Pendekatan separuh masak'

Pelaksanaan pengisytiharan harta yang merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia menerima pujian sebagai sebahagian daripada agenda reformasi Pakatan Harapan.

Bagaiamanapun pengkritik seperti badan pemantau anti-rasuah, C4 percaya ia hanya merupakan pendekatan separuh masak.

Laman web itu hanya menunjukkan pendapatan bulanan, jumlah nilai aset, bila ia  diisytiharkan dan adakah perisytiharan itu termasuk aset ahli keluarga.

Bagaimanapun, ia tidak memberikan pecahan aset atau perbandingan sejarah untuk melihat jika terdapat peningkatan mendadak dalam penambahan aset.

Laman itu pada masa ini hanya menunjukkan aset menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan anggota parlimen Pakatan Harapan.

Pada Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk mewajibkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada speaker, yang kemudian akan berkongsi maklumat itu dengan SPRM.

Anggota Parlimen BN enggan mengisytiharkan harta mereka dengan menyatakan kebimbangan terhadap privasi dan keselamatan, selain mengatakan ia di luar bidang kuasa parlimen.

Anggota parlimen PAS, juga enggan berbuat demikian sebaliknya mengatakan telah mengisytiharkan aset mereka kepada parti.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula menyerahkan kepada anggota parlimennya untuk memutuskan sama ada perlu atau tidak mengisytiharkan aset mereka.

Tarikh akhir bagi anggota Parlimen untuk berbuat demikian adalah pada 5 Dis selepas dilanjutkan dari 1 Oktober lalu.

Anggota parlimen boleh dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan parlimen jika mereka gagal mematuhi peraturan berkenaan dan boleh digantung atau didenda.

Lihat Komen
ADS