Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM cadang k'jaan larang beri projek jutaan ringgit pada 'syarikat 2 ringgit'

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar Kementerian Kewangan menghalang "syarikat dua ringgit" daripada mendapat projek kerajaan yang bernilai jutaan ringgit.

Timbalan pengarah bahagian antipengubahan wang haram dan pelucuthakan SPRM Mohamad Faizal Sadri, berkata meskipun memiliki syarikat sedemikian tidak salah, ia telah digunakan oleh 'politically exposed person' (PEP) untuk menutup penglibatan mereka dalam mendapatkan tender.

PEP ditakrifkan sebagai individu yang diberi kepercayaan awam dan lebih berkemungkinan untuk terlibat dengan rasuah dan korupsi ekoran kedudukannya itu.

“Persoalan besarnya ialah bagaimana syarikat RM2 ini mampu mendapatkan projek melalui proses tender," katanya.

"Persoalannya sama ada wujud hubungan antara mereka (pemilik benefisial syarikat RM2) dengan jawatankuasa yang mengagihkan projek-projek itu? Ada tangan ghaib, seseorang yang mengawal dari luar.

"Jika syarikat itu berkaitan dengan seorang PEP, ada hubungan dengan ahli politik atau tokoh terkemuka dan dalam lembaga yang memberi tender, ini akan memberi kesan kepada keputusan dan mereka (jawatankuasa tender) akan bekerja di bawah tekanan atau pengaruh tertentu," katanya lagi.

Istilah ‘syarikat dua ringgit’ merujuk kepada perniagaan yang dibuka hanya dengan modal minimum RM2 apabila mula didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pemilikan benefisial pula merujuk mereka yang mempunyai kawalan mutlak ke atas syarikat tanpa direkodkan sebagai pemilik.

Faizal berkata demikian di sebuah forum bertajuk "Unmasking Benefisial Ownership" anjuran Transparency International di Kuala Lumpur hari ini.


Baca: Syarikat akan diwajibkan kemuka maklumat pemilik benifisial


Faizal juga berkata meragukan untuk sebuah syarikat dengan hanya modal berbayar RM2 berjaya menyelesaikan projek bernilai jutaan ringgit.

Katanya, kes seumpama itu hanya memberi manfaat kepada mereka yang menggunakan syarikat tersebut sebagai ‘kenderaan’ mereka.

Katanya lagi, isu syarikat dua ringgit yang digunakan sebagai proksi ini juga telah dibincangkan oleh SPRM semasa mesyuarat bersama SSM dan Bank Negara.

“Apa yang kita mahu - sama ada berkesan atau tidak - adalah untuk kementerian memainkan peranan untuk minimumkan risiko.

“(Kami mencadangkan) syarikat dua ringgit tidak boleh dilibatkan dalam proses pemerolehan kerajaan. Kami tidak mahu seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi menggunakan syarikat ini sebagai ‘kenderaan’.

"Kami mahu syarikat menyertai proses pemerolehan untuk menyatakan sama ada mereka bertindak (untuk) entiti. Anda perlu isytihar sama ada anda ada pemilik benefisial atau tidak," katanya lagi.

Katanya, jika kepentingan diisytiharkan, kementerian kewangan boleh menggunakan pangkalan data SSM untuk menjalankan semakan silang antara pemohon tender dan pendaftaran syarikat.

Katanya lagi, kementerian juga perlu membangunkan kapasiti sumber manusia dengan kepakaran untuk menangani syarikat seumpama itu.

Sebagai contoh, katanya, mereka mesti mampu memberi amaran jika syarikat yang sama atau yang dikawal oleh orang sama mendapat banyak projek kerajaan.

"Melalui pengalaman bertahun-tahun, mereka (pegawai kementerian kewangan) mesti dapat mengenal pasti (syarikat seumpama itu) sama seperti pegawai pematuhan di institusi kewangan yang...dengan mudah menunjukkan transaksi mencurigakan.

"Kita bercakap mengenai kebocoran dana rakyat Malaysia, kita bercakap tentang setiap ringgit dan sen," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS