Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Arul Kanda bangkitkan beberapa perkara untuk digugurkan
Diterbitkan:  Jan 13, 2020 6:15 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Bekas Pengarah Audit di Jabatan Audit Negara (JAN), Saadatul Nafisah Bashir Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pihaknya hairan dengan tindakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy yang membangkitkan beberapa perkara dalam laporan akhir audit 1MDB untuk digugurkan.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata, Arul Kanda berbuat demikian pada mesyuarat yang diadakan di pejabat bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada 1 Mac 2016, bagi membincangkan semula mengenai laporan akhir audit 1MDB yang telah dikemaskinikan.

Menurut Saadatul Nafisah, perkara-perkara yang dibangkitkan Arul Kanda untuk digugurkan antaranya, pendapat pasukan audit yang subjektif dan tidak mempunyai bukti sokongan yang kuat.

“Kebanyakannya adalah penukaran perkataan. Pasukan audit pada masa itu berasa hairan atas tindakan Encik Arul Kanda kerana beliau baru sahaja hendak membaca dan meneliti setiap perkara dalam laporan tersebut.

“Walhal pihak JAN sudahpun memberi peluang untuk pihak auditi menyuarakan mengenai apa-apa perkara atau isu berbangkit pada hari Exit Conference pada 16 Dis 2015,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria.

Saadatul Nafisah yang telah bersara pada 16 Mei 2016 memberi keterangan pada hari ketujuh perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Jelas saksi itu, Exit Conference merupakan satu sesi perbincangan dengan pihak auditi selepas tugas audit dilakukan, iaitu pihak audit akan menyoal dan meminta pihak auditi untuk menerangkan perkara serta isu-isu yang dibangkitkan dan meminta auditi untuk mengemukakan sebarang dokumen sokongan untuk menyelesaikan perkara atau isu berbangkit tersebut dalam satu tempoh masa yang ditetapkan.

Menurut Saadatul Nafisah, pada hari Exit Conference tersebut, Arul Kanda telah menyuarakan perkara-perkara dan isu-isu berbangkit, antaranya mengenai projek solar, pengambilalihan syarikat pengeluar tenaga bebas, hartanah dan mengenai Segregated Portfolio Company (SPC) iaitu penebusan pelaburan portfolio.

“Beliau (Arul Kanda) telah memberi penerangan berserta dokumen sokongan pada masa itu. Namun, dalam mesyuarat pada 1 Mac 2016, Encil Arul Kanda masih lagi mengarahkan pihak audit untuk mengeluarkan serta meminda perkataan-perkataan dalam laporan akhir audit 1MDB.

“Pihak JAN bagaimanapun tidak bersetuju atas permintaan Encik Arul Kanda pada masa itu kerana pihak 1MDB telah diberikan masa sehingga akhir Januari 2016 untuk pihak 1MDB meneliti dan memberi maklum balas berserta dengan dokumen-dokumen berkaitan bagi tujuan tersebut iaitu selepas Exit Conference (16 Dis 2015), namun Encik Arul Kanda tidak memberi apa-apa maklum balas sehingga 30 Jan 2016,” katanya.

Saksi itu berkata, dalam tempoh yang diberikan oleh pihak JAN kepada 1MDB iaitu sebulan selepas Exit Conference (sehingga 30 Jan 2016), tidak ada sebarang dokumen atau penerangan dibuat oleh pihak 1MDB dan pihaknya menganggap 1MDB bersetuju dengan laporan akhir audit serta laporan tersebut telah dimuktamadkan.

Menurut Saadatul Nafisah, pada 26 Feb dan 27 Feb 2016, Arul Kanda ada menghantar e-mel kepada beliau mengenai beberapa cadangan baharunya untuk dimasukkan di dalam laporan akhir audit 1MDB, bagaimanapun katanya, JAN tidak mengambil kira cadangan tersebut.

Tambah saksi itu, antara cadangan yang telah diberikan oleh Arul Kanda adalah Pelan Rasionalisasi syarikat 1MDB yang telah dimaklumkan oleh beliau (Arul Kanda) kepada pihak media pada November 2015 melibatkan kerjasama kerajaan Malaysia dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), namun Arul Kanda tidak mengemukakan sebarang dokumen sokongan.

“Isu mengenai bayaran tambahan kepada IPIC iaitu 1MDB ada membuat pembayaran kepada IPIC tetapi jumlah sebenar yang telah dibayar tidak dapat disahkan oleh 1MDB dan tiada apa-apa dokumen telah diberikan kepada pihak JAN untuk menyokong perkara tersebut,” katanya.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda, 44, dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya di antara 22 dengan 26 Feb 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS