Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Apabila Ming Pang mendapat tahu pengajar sebuah studio tarian di Kuala Lumpur ditangkap selepas laporan rogol, dia tahu dia perlu berbuat sesuatu.

Pengasas bidang tarian Swing di Lembah Klang, Pang sedar beberapa penari dalam majlis anjurannya juga mengambil kelas di studio tarian pengajar yang ditangkap itu.


BACA: Pengajar tarian didakwa rogol pelajar


Dia juga tahu bahawa studio itu - yang mengkhususkan diri dalam tarian bukan lah sebahagian daripada komuniti Swing - tidak memberitahu pelajarnya bahawa salah seorang pengajarnya telah dilaporkan merogol dan menyerang pelajarnya secara seksual.

Itu semua sudah biasa, katanya menjelaskan beberapa tahun lalu komuniti tarian Swing antarabangsa digegarkan oleh skandal di mana pengajar tersohor didedahkan menjadi pemangsa seksual.

"Kami melihat diri kita sendiri untuk melihat bagaimana mungkin orang-orang berprofil tinggi ini dapat bertahan lama ini.

"Kebanyakannya berlaku kerana budaya di sebalik latar kejadian itu. Pemujaan idola ini. Guru-guru tarian ini bukanlah orang luar tetapi dalam lapangan bidang ini, mereka mempunyai banyak kuasa.

"Jika anda pengasas lapangan bidang itu, anda mempunyai banyak kuasa untuk memilih siapa yang anda suka. Untuk apa, terpulang kepada anda. Tiada peraturan," katanya.

Sekarang berhadapan skandal yang sama dalam bidang tarain tempatan, Pang dan rakan-rakannya komuniti tarian Swing bersetuju bahawa kini terpulang kepada mereka untuk memastikan penari mereka selamat.

Katanya, cara terbaik untuk melakukannya adalah memastikan mereka mengetahui hak-hak mereka.

Pegang terlalu lama, sentuhan tak sesuai

Tidak lama selepas pengajar berkenaan ditangkap pada Ogos lalu, komuniti tarian Swing mengadakan majlis ceramah keselamatan, untuk memaklumkan para penari mengenai penangkapan itu dan mendidik penari tentang apa tingkah laku yang boleh diterima semasa tarian.

Pang berkata sempadan mungkin kelihatan kabur kepada pendatang baru dan di zon kelabu ini pemangsa melakukan serangan seksual.

"Ada zon hitam yang disahkan seperti rogol tetapi ada wilayah kelabu seperti kandungan seksis sewaktu kelas dan ketika menari, ada yang pegang terlalu rapat atau terlalu lama, atau sentuhan yang tidak diinginkan.

"Banyak kali, orang yang berkuasa boleh menjelaskan begitulah caranya (sebagai sebahagian daripada tarian) kepada pendatang baru yang tidak tahu-menahu," katanya.

Sesetengah penari yang mengikuti kelas tarian daripada studio terbabit yang mana pelaku dikatakan menjadi tenaga pengajar, memberitahu Malaysiakini terdapat aduan mengenai tingkah laku yang tidak sesuai sebelum ini dan memegang lama-lama, melibatkan penari senior atau pengajar lain.

Seorang penari lelaki senior dituduh memegang pendatang baru wanita terlalu dekat dan akan 'menggeselkan' tubuhnya (grind) terhadap penari wanita dengan cara yang membuat mereka berasa tidak selesa.

"Apabila saya mengadu, tindak balas guru-guru adalah: 'Baiklah, bagaimana jika dia (seorang penari lain yang tampan)? Adakah anda membuat aduan?'

"Tetapi saya seorang dewasa. Ia bukan mengenai sama ada dia kelihatan tampan atau tidak. Saya tahu apa sentuhan yang sesuai dan apa yang tidak," kata seorang penari berkongsi pengalamannya dengan syarat enggan namanya disiarkan.

Beliau berkata salah seorang pengajar mempunyai reputasi cuba mencium pelajarnya ketika majlis tarian sosial di luar kelas, tetapi ini cuma dilihat oleh anggota sebagai menjengkelkan tetapi tidak berbahaya, katanya.

Apabila dihubungi, jurulatih itu menafikan dakwaan ini dan berkata dia tidak perlu memebri maklum balas terhadap perkara-perkara yang melibatkan kehidupan peribadinya.

Tanggapan tentang tingkah laku ini berubah sepenuhnya selepas kejadian pada bulan Julai di mana sekurang-kurangnya tiga penari dikatakan dirogol oleh pengetua studio tarian itu, menurut laporan polis yang dibuat wanita berkenaan.

Pengetua studio itu juga dituduh merogol pelajarnya dalam kejadian berasingan pada 2017, tetapi polis telah membebaskannya daripada tuduhan tersebut, menyimpulkan bahawa hubungan seks itu berlaku dengan persetujuan.

Tuduhan rogol pada 2019 masih dalam siasatan, dan pengetua studio itu bebas dengan jaminan polis selepas ditahan reman selama tujuh hari pada bulan Ogos. Dia tidak menjawab permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan maklum balas

Latih untuk berkata tidak

Pang berkata dia tahu sabitan kesalahan terhadap kes-kes serangan seksual sangat rendah, dan ini sebabnya dia berharap dia dapat membantu menghentikannya daripada terus berlaku.

"Cara terbaik adalah untuk lapangan bidang tarian yang mempunyai pengetahuan dan melatih guru untuk mengajar melalui pendekatan bukan berasaskan jantina dan melatih guru mengenai apa yang tidak boleh diterima," katanya.

"Sebahagian daripada latihan kami adalah mengenai persetujuan, persetujuan itu perlu diberikan dengan bersemangat dan seseorang tidak dapat memberi persetujuan jika mereka mabuk atau dihalang dalam apa-apa cara.

"Pelajar kelas diberitahu mereka tidak perlu menari dengan sesiapa sahaja (jika mereka tidak mahu). Jika anda tidak mahu, mereka boleh mengatakan tidak tanpa penjelasan. Kata tidak itu sudah ayat yang lengkap," katanya.

Ini menjadi sebahagian daripada perubahan budaya. Beberapa tahun yang lalu, katanya, ia dianggap sopan untuk menerima tawaran menari walaupun tidak merasa selesa dengannya. Muktakhir ini, dia berkata pelajar tarian Swing sedang berlatih untuk berkata tidak.

"Kami mempunyai budaya Asia yang patuh dan baik dan kami mempunyai pendidikan seks yang sangat kurang. Orang tidak tegas terhadap tubuh mereka dan hakikat bahawa mereka mempunyai hak sepenuhnya untuk mengawal siapa yang menyentuh mereka, "katanya.

Lapangan bidang tarian Swing juga telah menempatkan sistem di mana penari yang merasakan mereka telah dilanggar haknya atau menyaksikan tingkah laku yang tidak sesuai dapat membangkitkannya kepada pegawai keselamatan yang ditetapkan di kelas Swing tertentu mereka.

"Wanita dalam bidang tarian telah bertarung dengan hal ini. Lebih baik mereka sedar, dididik dan tahu di mana tempat mencari bantuan apabila mereka perlu serta tidak membiarkan keganasan dilakukan terhadap mereka," katanya.

Tekanan dari rakan bidang tarian

Tekanan daripada rakan-rakan dalam bidang ini untuk ikut serta dan membiarkan hal-hal yang mereka tidak selesa dibangkitkan beberapa kali dalam wawancara berasingan Malaysiakini bersama empat orang wanita yang berkata mereka pernah dicabul atau dirogol oleh tenaga pengajarnya.

Rakan-rakan dalam bidang tarian juga ikut serta memberi tekanan dan

Seorang penari berkata dalam bidang ini, ia dianggap kurang ajar untuk menolak tawaran menari kerana para penari dijangkakan menyambut kedatangan pelajar tarian baru. Tetapi budaya ini merebak jauh dari lantai tarian.

Salah seorang saksi serangan pada 2019 itu memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan serangan tersebut kerana dia tidak pasti apakah dia saja satu-satunya orang yang merasa tidak selesa dengan hal tersebut.

"Sekiranya gadis-gadis lain (yang mengatakan mereka telah dirogol) memberitahu saya bahawa mereka okay saja, saya hanya menutup sebelah mata (mengenao serangan itu) dan tidak melaporkannya."

Salah seorang wanita yang berkata dia telah dirogol menjelaskan dia berasa "terkejut" dengan apa yang berlaku sebelum serangan berlaku, tetapi tidak berhenti mengikuti kelas itu kerana dia "tidak mahu menjadi orang yang tidak normal".

Dalam satu kejadian pada 2017, salah seorang daripada mangsa berkata dia berpura-pura bahawa semua orang telah bersetuju dengan hubungan seksual itu supaya tidak memalukan wanita lain.

Dua tahun kemudian, dia mendapat tahu bahawa wanita lain terlalu mabuk untuk memberikan persetujuan, tetapi diberitahu oleh pengajar yang meyakinkan mereka bahawa apa yang berlaku adalah dengan persetujuan dan sesuatu yang "tidak dapat dikendalikan."

Sebelum kedua-dua kejadian itu berlaku, pengajar tersebut memberitahu wanita-wanita berkenaan apa yang berlaku pada malam itu mesti dirahsiakan, dan akan melakukan 'setakat mana yang mereka boleh".

Tetapi menurut laporan, wanita berkenaan mendapati pengajar mereka melakukan 'penetrasi" tanpa persetujuan, dan mengambil kesempatan walaupun mereka menolak atau cuba menghentikannya.

Pihak polis mengesahkan laporan telah dibuat terhadap pengajar, dan individu itu telah ditangkap serta ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Menurut polis, siasatan sedang dijalankan atas dakwaan yang berlaku pada tahun 2019 tetapi difahamkan tiada pertuduhan akan dikenakan terhadapnya berhubung insiden pertama.

Polis membuat kesimpulan bahawa seks dilakukan secara kerelaan berdasarkan sebahagian daripada transkrip sembang WhatsApp.

Polis berkata mesej itu menunjukkan wanita berkenaan tetap berkawan dengan pelaku selepas kejadian itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS