Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu kukuh, kita tak campur hal mereka, kata Annuar Musa

Di tengah-tengah kemelut yang melanda Bersatu dengan pertarungan merebut kuasa di antara kem Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad, Ahli Majlis Tertinggi Umno Annuar Musa berkata parti itu tidak masuk campur dalam urusan dalaman Bersatu.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dalam kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin, sebaliknya berkata beliau percaya bahawa Bersatu semakin kukuh.

“BN dan MN tak mahu campuri hal dalaman Bersatu.. Kita percaya PPBM semakin kukuh,” katanya kepada Malaysiakini menerusi pesanan Whatsapp.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai sama ada kemelut yang dihadapi Bersatu akan menjejaskan PN.

Semalam, Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya menghantar surat memaklumkan bahawa keahlian Mahathir, timbalan presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta anggota majlis tertinggi Bersatu, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah sudah terbatal.

Katanya, ini susulan mereka duduk di blok pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu.

Ketika itu, seramai 114 anggota parlimen duduk di blok kerajaan, yang menyaksikan Muhyiddin hanya memperoleh majoriti tipis dua kerusi parlimen.

Kelima-lima pemimpin Bersatu yang dilucutkan keahlian itu mempertikaikan tindakan berkenaan.

Sebagai tindak balas, setiausaha agung Bersatu yang jawatannya dalam pertikaian, Marzuki Yahya memecat Suhaimi atas alasan mengeluarkan surat itu tanpa merujuk kepadanya selaku ketua pentadbir ibu pejabat parti.

Lihat Komen
ADS