Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib perlu nafi terlibat agenda nak jatuhkan PM - Pemimpin Bersatu
Diterbitkan:  Jan 21, 2021 10:49 PM
Dikemaskini: 3:09 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak "perlu berlaku jujur" apabila mempersoalkan kenapa darurat di Malaysia melibatkan penggantungan Parlimen, bidas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu Hashim Suboh.

"Berhentilah berpura-pura tidak tahu, terus membaling batu sambil menyembunyikan tangan.

"Beritahu rakyat Malaysia di negara manakah ada ahli-ahli parlimen yang 'gila' nak menjatuhkan PM dan kerajaan sendiri 'segila' sebilangan ahli-ahli parlimen di Malaysia tanpa mengira waktu," soal Hashim pada hantaran di media sosial hari ini.

Hashim mengulas 'cabaran' Najib kepada Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam yang meminta menteri kewangan menamakan sebuah negara dalam dunia yang menggantung parlimen atas alasan mahu menghadapi Covid-19.

"Perlu jujur, bro. Rugilah negara-negara lain tak gantung parlimen jika benar bahawa langkah ini boleh kuatkan ekonomi," kata Najib.

Dalam pada itu, Hashim menyoal sekiranya Najib terbabit dalam usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu itu.

"Sejujurnya, bolehkah Dato Seri (Najib Razak) menafikan penglibatan Dato Seri dalam sebahagian agenda untuk menjatuhkan perdana menteri ketika kerajaan sedang fokus berdepan dengan pandemik Covid-19 ini? 

"Apakah rasional untuk memaksa peralihan kerajaan atau pilihan raya umum diadakan ketika Covid-19 ini sedang menggila? 

"Saya yakin Dato Seri juga tidak berlaku jujur kepada rakyat dan negara pada ketika ini," dakwa pemimpin Bersatu itu.

Pada 12 Jan lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung pandemik Covid-19 di negara ini.

Kata Najib semalam, Malaysia satu-satunya negara dalam dunia menggunakan alasan Covid untuk gantung parlimen.

"Senang sahaja, Tengku Zafrul. Namakan satu negara lain dalam dunia yang gantung parlimen (bukan tunda sesi parlimen) selama tujuj bulan," kata bekas perdana menteri lagi.

Sebelum darurat, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 9 Jan mengesahkan majlis tertinggi (MT) parti itu baru-baru ini bersetuju pada dasarnya untuk menamatkan kerjasama mereka dengan Bersatu.

Pendirian itu, kata Zahid akan dimuktamadkan dalam perhimpunan agung Umno (PAU) pada 31 Jan ini.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU ke-15 dan usul ini bakal dibahas pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang mana sebelum proklamasi darurat dijadual bakal berlangsung hujung Jan ini.

Setiausaha agung BN yang disingkir, Annuar Musa kemudian menyangkal angka itu dan mendakwa berdasarkan maklumat yang diterimanya, hanya 99 bahagian yang membuat keputusan itu.

Bagaimanapun, dengan pelaksanaan darurat dan PKP, PAU ditunda ke satu tarikh lain dan ini menangguhkan pendirian Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Pada 12 Jan lalu, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Nazri Aziz menjadi ahli parlimen terbaru menarik sokongannya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Nazri mengikut jejak langkah dua ahli parlimen Umno MP Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dan MP Machang Ahmad Jazlan Yakob yang dilapor menarik sokongan terhadap PN.

Nazri hari ini mempertahankan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang mengutus surat menggesa ahli parlimen parti itu mendesak agar sidang khas parlimen diadakan.

Kata Nazri ketika ini negara ditadbir oleh kerajaan minoriti. Justeru katanya segala keputusan yang dibuat parti perlu dipatuhi semua ahli parlimen Umno dan BN.

Lihat Komen
ADS