Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM digesa bimbing doktor swasta pantau pesakit di rumah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa memberi panduan kepada doktor atau pengamal perubatan am (GP) mengenai cara memantau pesakit positif Covid-19 yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Dr Boo Cheng Hau berkata ini kerana ada di kalangan pesakitnya yang menjalani kuarantin di rumah telah menghubunginya untuk meminta pertolongan bagi memantau keadaan mereka.

Katanya, tidak ada panduan untuk pengamal perubatan am mengenai hal itu dan pesakit tidak dilengkapkan dengan pengetahuan atau peralatan untuk membantu doktor memantau mereka dari jauh.

"Setakat ini garis panduan KKM adalah untuk ahli keluarga, yang menimbulkan lebih banyak kekeliruan, terutama kepada golongan yang kurang pengetahuan.

"Beberapa pesakit ditinggalkan berhari-hari di rumah tanpa ada panggilan telefon dari pegawai kesihatan am.

"Inilah masanya untuk pengamal perubatan am memainkan peranan penting dalam membantu pesakit dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber awam yang terbatas," kata Boo kepada Malaysiakini.

Boo, yang baru-baru ini pulih dari Covid-19 berkata dia telah dihubungi oleh pesakit yang cemas dengan keadaan mereka ketika menunggu di hospital.

"Ada yang menghubungi saya untuk meminta nasihat kerana (pegawai) kesihatan am tidak memberi mereka nasihat yang jelas.

"Saya akan berusaha mengawasi mereka sehingga katil hospital disediakan untuk mereka dan memaklumkan kepada hospital dan pegawai kesihatan apabila keadaan mereka merosot," kata Boo.

Boo yang juga bekas Adun Skudai berkata dia memantau pesakit terbabit dan telah meminta mereka membeli alat bantuan kesihatan seperti set tekanan darah elektronik, termometer dan pulse oximeter (alat pengukur kadar oksigen) agar mereka dapat merekodkan keadaan mereka dengan tepat ketika ditanya.

Boo berkata langkah untuk memeriksa sama ada mereka sakit, batuk atau sesak nafas tidak mencukupi untuk memahami sejauh mana tahap kesihatan sebenar mereka.

Alat bantuan kesihatan itu boleh dibeli di farmasi dengan harga sekitar RM200.

"Garis panduan KKM (untuk pesakit kuarantin di rumah) menyebut penggunaan oksimeter tetapi banyak yang tidak tahu bagaimana menafsirkan pembacaan.

"Anggota perubatan atau ahli keluarga yang mempunyai tahap pendidikan lebih baik diperlukan untuk melakukan pemantauan," katanya.

"Saya menghadapi beberapa kesukaran dengan beberapa pesakit berusia yang tidak tahu bagaimana menggunakan alat mudah ini dan ahli keluarga tidak dapat membantu memantau, kerana mereka terpisah antara satu sama lain," tambah Boo.

Untuk membimbing pesakitnya, dia memuat naik video di media sosial untuk menunjukkan bagaimana peralatan tersebut boleh digunakan.

">

Boo berkata terdapat juga pesakit yang sudah keluar hospital dan datang kepadanya untuk memantau keadaan mereka.

Bagaimanapun, tidak ada garis panduan yang dikeluarkan mengenai bagaimana GP boleh memantau pesakit yang telah pulih.

"Sebagai bekas pesakit Covid-19 sendiri, saya dapat berkongsi kebimbangan dan kerisauan pesakit.

"Walaupun setelah keluar dari hospital, saya masih memantau mereka dengan memeriksa fungsi organ mereka, termasuk jantung, ginjal, hati dan kesihatan mental," katanya.

Sehingga kini, tidak ada pesakitnya yang melaporkan gejala jangka panjang yang teruk, tetapi masih penting bagi GP mendapatkan panduan, tambah Boo.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika ditanya mengenai perkara itu semalam berkata KKM akan menyediakan panduan mengenai rawatan pesakit Covid-19 kepada doktor swasta tidak lama lagi.

"Guideline dah ada , tapi mungkin sebelum ini tak salur kepada (doktor) swasta, sebab tak rawat Covid. Sekarang guideline boleh pakai pada mereka," katanya pada taklimat media semalam

Sehingga semalam, seramai 141,446 dilaporkan telah pulih dari Covid-19 dan selesai menjalani tempoh kuarantin kendiri di rumah mahu pun menerima rawatan di hospital, tetapi tidak jelas berapa ramai yang memerlukan rawatan jangka panjang atau rawatan susulan.

Terdapat beberapa laporan mengenai kesan jangka panjang Covid-19 di kalangan pesakit di Malaysia dan ada yang tampil berkongsi bagaimana mereka menghadapi kesukaran untuk melakukan tugas-tugas mudah, seperti menaiki tangga atau bercakap untuk jangka masa yang lebih lama, selepas sebulan disahkan negatif Covid-19.

Sebelum ini, para penyelidik di Hospital Wuhan Jinyintan di China memantau mangsa Covid-19 yang terselamat enam bulan selepas mereka dikeluarkan.

Daripada seramai 1,733 yang mengambil bahagian dalam kajian itu, 76 peratus melaporkan bahawa mereka masih mengalami sekurang-kurangnya satu gejala.

Ini termasuk keletihan atau kelemahan otot (63 peratus), kesukaran untuk tidur (26 peratus), keguguran rambut (22 peratus), dan gangguan bau (11 peratus).

Di samping itu, 13 peratus pesakit yang tidak mempunyai masalah buah pinggang sebelumnya didapati menghadapi masalah fungsi buah pinggang.

Penemuan ini dilaporkan dalam jurnal The Lancet pada 8 Januari.

Walaupun ia hanya salah satu kajian mengenai fenomena ‘Long Covid’ setakat ini, ia hanya melibatkan pesakit dari satu hospital, dan hanya pesakit yang kritikal sehingga memerlukan kemasukan ke hospital (iaitu Tahap 3 ke atas).

Kajian Kementerian Kesihatan mengenai kesan jangka panjang Covid-19 sedang dijalankan.

Lihat Komen
ADS