BERITA

Raja Petra dakwa terserempak tertuduh kes Altantuya

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Mei 2008, 4:45 petang

Pengendali lamanweb Malaysia Today , Raja Petra Kamarudin telah dibebaskan dengan ikatjamin pada jam 9.30 pagi tadi di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Beliau mendakwa, telah terserempak dengan dua tertuduh dalam kes perbicaraan pembunuhan Altantuya Shaaribuu - Sirul Azhar Umar and Azilah Hadri - semasa di penjara Sungai Buloh ketika (Raja Petra) ditahan di situ sejak Selasa lalu, kerana tidak membayar ikatjamin.

raja petra released from prison 090508 07 Kedua-dua mereka menjerit dan mengugutnya dan pihak berkuasa penjara bimbang tentang keselamatannya, kata Raja Petra selepas dibebaskan pagi ini.

Beliau berkata, oleh kerana mereka tidak dapat menjamin keselamatannya, maka beliau bersetuju dengan permintaan pihak berkuasa supaya diikatjamin.

Raja Petra juga berkata beliau tidak mogok lapar seperti yang dilaporkan sebelum ini tetapi enggan mengambil makanan yang disajikan oleh pihak penjara.

“Makanan itu dibayar oleh rakyat. Saya tidak fikir duit rakyat dibelanjakan dengan sewajarnya," kata beliau.

Sebelum itu, Raja Petra tiba di mahkamah dari penjara Sungai Buloh pada kira-kira jam 9.25 pagi.

raja petra released from prison 090508 01 Beliau memakai seluar jean dan baju kuning yang sama dipakainya sewaktu dihadapkan ke mahkamah Selasa lalu.

Bagaimanapun, ketika keluar dari mahkamah, beliau sudah bertukar memakai baju warna hitam.

Kira-kira 50 penyokongnya yang menunggunya di perkarangan mahkamah, bertepuk tangan sebaik sahaja Raja Petra tiba di situ. Raja Petra kelihatan melambai ke arah mereka.

Mereka memakai baju-T berwarna kuning dengan wajah Raja Petra serta dengan tulisan 'Justice for all...Tantuya'

Raja Petra, dihadapkan ke mahkamah Selasa lalu atas tuduhan menghasut. Beliau enggan membayar ikatjam RM5,000 kerana katanya tidak mampu berbuat demikian.

Kesnya telah ditetapkan untuk didengar pada 6 hingga 10 Oktober depan.

SAKSI VIDEO

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.