Mubarak: Ku Li ada misi, visi tersendiri
Persatuan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Mubarak) percaya Tengku Razaleigh Hamzah berhasrat untuk bertanding jawatan presiden kerana mempunyai visi dan misinya tersendiri untuk masa depan Umno.
Bagaimanapun, presidenya Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, yang penting, sebarang pertandingan haruslah sihat dan menjurus kepada kebaikan parti.
Lagi pula, tambah beliau, Tengku Razaleigh memang mempunyai hak untuk bertanding sekiranya mendapat pencalonan yang mencukupi, selaras dengan amalan demokrasi dalam Umno.
"Sebagai seorang ahli Umno, beliau berhak bertanding, sekiranya mendapat sokongan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Mengikut peraturan parti, bekas menteri kewangan itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 30 peratus atau 58 pencalonan daripada 191 bahagian Umno, untuk layak bertanding jawatan presiden.
Baru-baru ini, Umno bahagian Gua Musang yang diketuai Tengku Razaleigh telah mengadakan mesyuarat luar biasa (EGM), antara lain melulus usul supaya sistem kuota tersebut dimansuhkan.
Kuota pencalonan
Selain jawatan presiden, calon timbalan presiden juga perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 20 peratus atau 38 pencalonan, calon naib presiden (10 peratus atau 19 pencalonan) dan ahli Majlis Tertinggi (5 peratus atau 10 pencalonan).
Beberapa bahagian Umno turut mengadakan EGM - iaitu Cheras, Batu Pahat dan Bandar Tun Razak - dan kesemuanya juga mendesak sistem kuota dimansuhkan.
Bagaimanapun, Pasir Mas membatalkan rancangan mengadakan EGM selepas presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan bahagian-bahagian supaya tidak mengadakan EGM tetapi menumpukan usaha memulih dan menguatkan semula Umno.
Sehingga ini, semua majlis Tengku Razaleigh dilaporkan telah mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan ahli Umno di peringkat akar umbi termasuk di Johor (bahagian Muar dan Batu Pahat), di Selangor (Subang Jaya) dan di Kedah (Alor Star dan Sungai Petani).
Beliau dilaporkan akan meneruskan perjumpaan ahli-ahli Umno di Sabah dan Pahang dalam masa yang terdekat.
Di samping itu, usaha sedang dibuat untuk mendaftarkan kelab peminat Tengku Razaleigh yang digerakkan oleh para penyokongnya.

