Nurul Izzah Anwar menyifatkan pakaian seragam sekolah pelajar perempuan "tidak seksi tetapi panas."
Ahli parlimen Lembah Pantai berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai pengawas di Sekolah Menengah Perempuan Assunta, pakaiannya "lebih teruk" kerana terpaksa memakai baju luar berwarna perang.
"Ya, ia tidak seksi tapi panas," katanya ketika ditemubual dalam siri pertama 'Uncensored with Francis' di televisyen web Malaysiakini yang akan diterbitkan esok.
Nurul Izzah mengulas kontroversi yang dicetuskan oleh Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dua minggu lalu apabila menyarankan baju putih yang dipakai kini harus digantikan kerana mengundang gangguan dan jenayah seks.
Beliau bagaimanapun berkata isu itu amat "dikesalkan" tetapi ia tidak wajar diperbesar-besarkan kerana mungkin niat persatuan pelajar itu baik walaupun cadangan tersebut "tidak menjawab isu utama gangguan seks" dalam kalangan remaja.
"Mungkin mereka (PKPIM) tidak terdedah kepada kelompok tertentu (yang berbeza), gaya hidup tertentu," katanya, sambil menambah cadangan persatuan pelajar tersebut sebagai "salah memahami kepentingan keutamaan isu."
Anak sulung penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, sewaktu bersekolah di situ pada 1996 dan 1997, sering wujud gangguan seks terhadap pelajar-pelajar sekolahnya di Petaling Jaya ketika menunggu bas.
"Apakah ada mana-mana pihak berbuat sesuatu (untuk mengawal) tentang perkara itu?" katanya.
Mengulas pembabitan mahasiswa dalam politik negara, Nurul Izzah berkata:
"Sejak kebenaran mengundi bermula ketika berumur 21 tahun ke atas, sepatutnya pelajar-pelajar diasuh untuk berfikir secara kritis dengan baik bagaimana untuk menguruskan negara.
"Tentang isu-isu kenegaraan, bagaimana untuk memperbaiki mutu pentadbiran negara. Ya sudah tentu pelajar-pelajar perlu terlibat dengan politik."
