BERITA

Isu peniaga: Dr Lo' Lo' jumpa MB S'gor

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Jun 2008, 2:05 tengahari

Ahli parlimen Tititawangsa Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali akan menemui menteri besar Selangor minggu depan untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh peniaga di Lot 25 Kampung Baru yang telah diarahkan berpindah pada 20 Jun.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui notis bertarikh 20 Mei lalu, yang meminta mereka mengosongkan premis perniagaan di situ dalam tempoh sebulan.

Lot 25 merupakan kawasan perniagaan terawal orang Melayu yang pernah dibangunkan semula dan dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1967.

Lot itu meliputi kawasan pasar minggu, gerai Mara, pusat kebudayaan PKNS dan deretan gerai makanan di Jalan Raja Muda Musa.

dr lolo Dr Lo' Lo' berkata, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Tan Sri Khalid Ibrahim ketika mereka bertemu di Parlimen minggu lalu.

Katanya, beliau juga telahpun menemui wakil Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu (PPKPM) berhubung masalah tersebut.

Peniaga bermesyuarat

Bagaimanapun, katanya, beliau belum lagi menerima sebarang dokumen daripada persatuan tersebut yang mendakwa kawasan terbabit milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Saya meminta agar (persatuan) peniaga membawa bukti status tanah di situ (kepada saya) supaya dapat diserahkan kepada Tan Sri Khalid," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

kampung baru weekend market 260508 03 Dr Lo' Lo' berkata, jika benar kawasan tersebut milik PKNS, maka pihak yang berhak menyelesaikan isu tersebut adalah PKNS dan bukan DBKL.

"Mereka (peniaga) harus bertindak dengan cepat (dengan menghantar geran dan carian tanah) dan kita mahu rakyat di situ memiliki tanah, bukan satu badan sahaja," jelasnya lagi.

Sementara itu, timbalan yang dipertua PPKPM Mohamad Nadzri Abdul Hamid berkata, persatuan itu akan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya malam ini untuk membincang arahan DBKL itu.

"Mesyuarat itu antara lain akan membincangkan tindakan dan langkah yang perlu diambil oleh persatuan berhubung notis yang diterima mengenai perkara itu," katanya.

Rabu lepas, datuk bandar Datuk Ab Hakim Borhan berkata DBKL telah membeli tanah yang kini dipertikaikan itu sejak lebih 20 tahun lepas.

"DBKL telah membeli tanah di situ (Lot 25) daripada PKNS pada tahun 1986 dan proses pertukaran nama sudah selesai," katanya dalam pertemuan mingguan dengan media.

Ab Hakim berkata proses pertukaran nama sudah selasai tetapi ia memakan masa yang lama, antaranya kerana banyak kaveat.

"Memang kalau ditengok (pada daftar carian tanah) memang tidak ada nama DBKL, tetapi proses itu sudah ada. Dari segi perjanjian sudah ada dah," katanya lagi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.