Kerajaan mempelawa pembangkang untuk bekerjasama dalam mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah kenaikan minyak dan mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Pelawaan tersebut dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar pagi ini.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen bagi petrol, menjadi RM2.70 seliter dan RM1 bagi diesel kepada RM2.58 sen.

petrol price hike protest kg baru sogo 130608 Ekoran itu, Jumaat lalu, Pemuda Pakatan Rakyat telah menganjurkan satu demonstrasi membantah kenaikan harga tersebut.

Kira-kira 2,000 menyertai perarakan yang bermula dari Masjid Kampung Baru, menuju ke Kompleks Sogo di ibunegara, selepas pihak polis menutup laluan ke KLCC.

Mengulas mengenai perkara itu, Syed Hamid berkata: "Saya tidak fikir anda boleh menggantikan kerajaan melalui demonstrasi".

Sebelum itu, beliau merasmikan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan negara-negara Asean (SOMTC) di ibu negara.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak adalah fenomena antarabangsa dan tindakan berdemonstrasi tidak menyelesaikan masalah kenaikan harga minyak.

Demonstrasi jalanan

"Kita harus bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk hidup dalam keadaan sekarang," katanya selepas merasmikan mesyuarat Peringkat Pegawai-pegawai Kanan Negara-negara Asean SOMTC) di ibu negara pagi ini.

Beliau juga menyifatkan demonstrasi jalanan adalah cara pembangkang untuk menagih sokongan dan menjadi juara demi berkepentingan politik mereka.

"Kalau nak jadi juara, mereka (pembangkang) harus membiarkan rakyat hidup dengan selesa dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang," katanya.

"Mengajak rakyat berdemontrasi akan membawa kesukaran kepada rakyat yang lain. Majoriti rakyat masih meneruskan kehidupan harian mereka walaupun dalam keadaan yang sukar.

"Kita perlu ubahsuai hidup kita, kita perlu memberi keutamaan dalam hidup kita," tambahnya.

Menjawab soalan, Syed Hamid turut menjelaskan bahawa kenaikan kadar jenayah juga ada kaitan dengan keadaaan ekonomi sesebuah negara.

Katanya, jika situasi ekonomi bertambah buruk, rakyat akan mencari pilihan lain dalam usaha untuk meningkat taraf hidup mereka.

Beliau berkata, banyak sindiket yang beroperasi di peringkat antarabangsa berasal dari negara miskin dan ketua mereka mungkin dari negara kaya, yang mengambil kesempatan ke atas peduduk negara miskin.

Tangani jenayah

Sebagai contohnya, tambah beliau, bila tahap pengangguran tinggi, maka kadar jenayah juga akan meningkat.

Oleh itu, tambahnya, fokus harus diberikan kepada soal ekonomi serta tindakan penguatkuasaan bagi menjamin ketenteraman negara.

Mesyuarat SOMTC dan rakan dialog Asean memfokuskan kepada isu yang berkaitan jenayah yang merentasi sempadan dan membincangkan langkah yang terbaik untuk menanganinya.

Terdapat lapan jenayah merentasi sempadan yang akan dibincangkan di mesyuarat tersebut, iaitu keganasan, penyeludupan manusia, kegiatan lanun, penyeludupan senjata, penyeludupan wang haram, pengedaran dan penyeludupan dadah, jenayah ekonomi dan jenayah siber.

Mengulas mengenainya, Syed Hamid berkata, mesyuarat tersebut akan melihat insiden atau elemen yang menyebabkan berlakunya jenayah merentasi sempadan dan mewujudkan bekerjasama secara berkesan untuk menanganinya.

"Dengan kenaikan harga minyak sekarang, (dan) kekurangan makanan, sudah tentu kita harus memberikan tumpuan supaya perkara ini dapat kita urus dengan baik dan sempurna supaya ia tidak menjadi masalah kepada negara.

"Sempadan laut, perairan ataupun darat, adalah terlampau luas dan terbuka. Kalau mana-mana negara-negara Asean berhadapan dengan masalah ekonommi yang dahsyat, kesan limpahan akan dirasai

oleh kita. Orang akan masuk ke sempadan kita. Ini akan membawa masalah (kepada kita)," tambahnya.