Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umno bahagian Jerlun, Datuk Abdul Rahman Ariffin akan dicabar oleh timbalannya, Datuk Abu Hassan Sarif dalam pemilihan bahagian kali ini.

Abu Hassan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), Kota Seputeh dalam kawasan Parlimen Jerlun.

Sumber-sumber parti berkata, Abu Hassan telah mengesahkan bahawa beliau akan mencabar Abdul Rahman kali ini.

Abu Hassan sudah empat penggal menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut, manakala Abdul Rahman pula merupakan bekas ahli Parlimen Jerlun.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, beliau tidak terpilih mempertahankan kerusi tersebut dan tempatnya digantikan oleh Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurut sumber-sumber itu lagi, Abu Hassan menawar diri bertanding jawatan ketua bahagian memandangkan kira-kira 70 peratus cawangan menyokongnya.

Umno bahagian Jerlun mempunyai 156 cawangan.

Serah tugas

Mesyuarat cawangan Umno akan bermula 17 Julai ini, manakala mesyuarat bahagian bermula pada 9 Oktober depan. Perhimpunan agung yang akan menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan Umno akan berlangsung pada 16-21 Disember depan.

Menurut sumber-sumber itu berkata, sudah tiba masanya untuk Abdul Rahman menyerahkan tugas tersebut kepada Abu Hassan yang merupakan seorang wakil rakyat.

"Datuk Abu Hassan telah dipilih menjadi calon dan menang selama empat penggal berturut-turut. Ini bermakna beliau juga mendapat mandat untuk menerajui Umno bahagian.

"Dengan ketokohannya, kita yakin beliau mampu membawa pembaharuan kepada Umno Jerlun," kata sumber-sumber itu lagi.

Ekoran itu, beberapa calon telah menyuara minat mereka untuk bertanding jawatan timbalan ketua bahagian.

Seorang daripadanya ialah naib ketua bahagian sekarang, Othman Aziz.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda bahagian Jerlun, Amran Ali akan bertanding jawatan ketua pemuda.

Perebutan tiga penjuru

Jawatan tersebut kosong ekoran penyandangnya, Zulfekri Awang sudah melewati umum 40 tahun dan dijangka bertanding jawatan naib ketua bahagian.

Malaysiakini difahamkan, pertandingan bagi jawatan ketua pemuda itu dijangka menyaksi perebutan tiga penjuru.

Selain Amran, dua lagi calon yang telah menawarkan diri ialah Mahyuddin Abdul Razak dan Khairi Ahmad.

Muhyiddin merupakan naib ketua pemuda Jerlun sekarang manakala Khairi adalah ahli jawatan pemuda yang dilantik.

Pertandingan bagi jawatan naib bahagian juga bakal menyaksikan perebutan tiga penjuru.

Selain Zulfekri, dua ahli jawatankuasa bahagian turut menawarkan diri, iaitu Tajul Urus Wahab dan Aziz Mahmud.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS