Kelab Peminat Tengku Razaleigh Hamzah (KPTR) telah menghentikan semua aktivi menjelajah ke seluruh negara bagi mendapatkan sokongan untuk ahli Parlimen Gua Musang itu selepas Umno mengeluarkan tataetika yang perlu dipatuhi oleh semua calon yang hendak bertanding dalam pemilihan parti itu tahun ini.

Presiden KPTR, Ahmad Fahmi Muhamad Amin berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuaratnya akhir bulan lalu bagi memastikan Tengku Razaleigh tidak hilang kelayakan bertanding atas sebab-sebab teknikal.

Bekas menteri kewangan itu, telah mengumumkan kesediaannya untuk dicalonkan bertanding jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Disember ini.

Mesyuarat peringkat cawangan bermula esok hingga 24 Ogos, manakala persidangan 191 bahagian Umno pula bermula 9 Oktober untuk membuat pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli Majlis Tertingg Umno.

Mengikut peraturannya, calon presiden perlu mendapatkan 20 peratus atau 58 pencalonan dari bahagian, timbalan presiden (38 pencalonan atau 20%), naib presiden (19 pencalonan atau 10%) manakala MT (10 pencalonan atau 5%).

Ahmad Fahmi berkata, jika aktiviti KPTR diteruskan, ia mungkin disalah tafsir oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno sebagai melanggar tataetika tersebut.

"Setelah berbincang dengan mendalamnya, pihak pengurusan KPTR mengambil keputusan agar semua aktivitinya dihentikan dengan segera supaya tidak dianggap melanggar etika tersebut.

"KPTR akan hanya mengumpul ucapan, video, artikel dan lain-lain bahan lama yang berkait dengan Tengku Razaleigh untuk diarkibkan," kata Ahmad Fahmi.

Sehubungan itu juga, katanya, semua kutipan yuran sebanyak RM10 untuk menjadi ahli KPTR, akan dikembalikan supaya tidak ada salah sangka yang politik wang terbabit.

Menurutnya, wang tersebut akan dikembalikan kepada kira-kira 400 hingga 500 orang yang sudah mendaftar sebagai ahli.

Ekoran itu, katanya, KPTR kini tidak ada ahli lagi, sebaliknya semua yang mahu menyertainya, akan hanya diberi status sebagai 'peminat Tengku Razaleigh' sahaja.

Menjelang pemilihan parti itu Disember ini, Umno telah meluluskan tataetika yang dibaikpulih bagi memastikan proses itu berjalan lancar, dan bersih daripada politik wang.

Beberapa garis panduan baru dikuatkuasa, antaranya, melarang calon daripda menghadiri majlis perjumpaan, khususnya membabitkan ahli Umno kerana dikhuatiri digunakan untuk berkempen dan meraih undi.

Selain itu, bakal calon juga ditegah menggunakan khidmat ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu undi.

Mereka yang gagal mematuhi garis panduan tersebut, berdepan dengan tindakan tegas seperti digantung keahlian atau dipecat dari parti.

Tataetika tersebut telah diteliti dan dikemaskinikan menerusi biro perlembagaan dan peraturan Umno yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.