kemaskini 3:07pm Ketua Pemuda BN Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyeru penyokong parti itu agar berdisiplin dan tidak termakan kempen agresif penyokong PKR dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

"Kita juga telah membuat pendirian agar pemimpin-pemimpin parti komponen memastikan penyokong BN, berdisiplin dalam masa berkempen ini.

"Kita tahu bahawa keadaan, suasana di Permatang Pauh menuntut kita banyak bersabar.

hishammuddin hussein pc 030408 03 "Pilihanraya terdahulu daripada ini, mereka akan mencabar kesabaran, ketabahan jentera BN, tetapi Pemuda BN, seperti saya telah ingatkan dalam konteks ini, jangan terikut-ikut dengan provokasi mereka," katanya.

Hishammuddin, yang juga ketua Pemuda Umno menambah, pihaknya menduga pembangkang akan memainkan isu-isu sensitif, termasuk perkauman, keagamaan dan serangan peribadi sepanjang kempen dari 16 hingga 26 Ogos.

"Dan inilah cabaran kita dalam konteks Pemuda BN untuk memastikan bahawa kita tidak akan terikut-ikut dengan provokasi mereka dan mematahkan hasrat mereka untuk (mendorong) kita melakukan sesuatu yang tidak diingini," katanya.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tiga jam barisan exco Pemuda BN di Seberang Jaya pagi ini, beliau juga merayu simpati pengundi agar memilih calon parti itu, Datuk Arif Shah Omar Shah, yang dianggapnya sebagai "underdog" (lemah).

Calon itu akan berdepan dengan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tambah Hishammuddin, "yang mendakwa bakal menjadi perdana menteri".

"Kita yang bawa calon kita ke kawasan kubu kuat Keadilan (PKR). Kita berdepan dengan calon yang menyatakan dan telah mengisytiharkan beliau bakal perdana menteri Malaysia.

"Jadi, dalam keadaan sebegitu, kita merupakan pihak yang perlu memohon, merayu simpati, dan itulah kita harapkan untuk menjadi satu kekuatan kepada BN."

Diminta mengulas seruan perwakilan Pemuda PAS di muktamar dewan itu di Ipoh semalam agar parti Islam tidak terlalu kagum pada Anwar, Hishammuddin berkata:

"Itu kita serahkan kepada PAS untuk membincangkan dan menentukannya."

Mengulas lagi sama ada seruan itu sebagai tanda-tanda keretakan dalam Pakatan Rakyat, Hishammuddin menyerahkan kepada orang ramai untuk menilainya sendiri.

Katanya, selepas lima bulan bermuhasabah, Pemuda BN sekarang sudah kembali pulih dan baik.