Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu mendapat pencalonan terbanyak untuk bertanding jawatan ketua bahagian Umno Kangar.

mat isa sabu md isa sabu Beliau mendapat lebih 50 pencalonan berbanding dengan 28 pencalonan untuk penyandang jawatan tersebut, Ahmad Bakri Ali.

Ahmad Bakri juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kayang.

Menurut setiausaha kerja bahagian tersebut, Abd Wahab Abd Majid, 89 daripada 119 cawangan dalam bahagian tersebut telahpun bermesyuarat.

Lepasi kelayakan

Manakala baki 28 cawangan lagi akan bermesyuarat selepas 29 Ogos depan, setelah selesai pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Ibupejabat Umno telah mengeluarkan arahan meminta semua cawangan menangguhkan mesyuarat masing-masing sehingga selesai pilihanraya kecil tersebut.

"Kedua-dua calon melepasi kelayakan untuk bertanding ketua bahagian," kata Abdul Wahab.

Setiap calon mesti mendapat sekurang-kurangnya 24 pencalonan untuk layak bertanding jawatan ketua bahagian.

Beliau menjelaskan mesyuarat cawangan dalam bahagian itu dijangka selesai pada 31 Ogos ini iaitu sebelum bulan Ramadhan tiba.

Ahmad Bakri juga mendapat 29 pencalonan untuk jawatan timbalan ketua bahagian.

Jawatan timbalan

Ditanya pakah Ahmad Bakri akan memberi laluan kepada Md Isa untuk memegang jawatan ketua bahagian tersebut, Abd Wahab menjawab: "Kita tak buat apa-apa keputusan lagi."

Katanya, keputusan tersebut mungkin dibuat selepas semua cawangan selesai bermesyuarat.

Menurut Abd Wahab lagi, selain Ahmad Bakri, turut dicalonkan bagi jawatan timbalan ketua ialah penyandangnya Datuk Hashim Suboh dan bekas Adun Kayang, Datuk Azam Rashid.

Hashim mendapat 28 pencalonan manakala Azam menperolehi 23 pencalonan.

Abdul Wahab, yang juga ahli jawatankuasa Umno bahagian, berkata, untuk layak bertanding jawatan timbalan ketua, setiap calon mesti mendapat sekurang-kurangnya 18 pencalonan.

Bagi jawatan naib ketua pula, katanya, enam orang dicalonkan, tetapi sehingga ini, hanya dua daripadanya yang berjaya melepasi syarat minima 12 pencalonan.

Badan perhubungan

Kedua-duanya ialah penyandangnya Abd Jamil Saad yang juga Adun Sena, dan bendahari Umno bahagian, Azhar Ahmad.

Jamil mendapat 50 pencalonan manakala Azhar pula memperolehi 18 pencalonan.

Abd Wahab, yang juga setiausaha Umno Cawangan Bukit Kaya, menjelaskan 'mood' ahli Umno Kangar mahu ketiga-tiga jawatan tersebut dipertandingkan.

Ditanya pandangannya sama ada jawatan pengerusi perhubungan Umno harus diserahkan kepada Dr Md Isa yang merupakan menteri besar Perlis, beliau menjawab:

"Memandangkan tenaga Datuk Seri Shahidan Kassim masih diperlukan, biarlah (dia) kekal sebagai pengerusi badan perhubungan Umno.

"Seorang kerja MB, seorang lagi kerja (dalam) badan perhubungan Umno negeri. Setiap orang ada kerja masing-masing, itu lebih bagus," tambah Abd Wahab.